Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 lebih inklusif, jemput masyarakat Cina, India: PM | Scoop

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 lebih inklusif, jemput masyarakat Cina, India: PM

Kerajaan akan mengundang dewan perniagaan Melayu, Cina, India bersama beri pandangan

3:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang akan berlangsung hujung bulan ini bersifat lebih inklusif dengan jemputan penyertaan masyarakat Cina dan India.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mengambil sikap yang sangat terbuka walaupun kongres itu memberikan tumpuan kepada permasalahan dihadapi bumiputera.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kongres itu tidak akan mempertahankan masalah salah guna kuasa atau tumpuan kepada mengayakan kroni atau keluarga tertentu, sebaliknya perlu ada kesediaan untuk mengemukakan cadangan baharu.

“Kedua, pendekatan kita dalam hal Kongres Ekonomi Bumiputera lebih inklusif. Maknanya kita mahu penyertaan daripada rakan-rakan kita masyarakat Cina dan India.

“Saya harap ACCCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia) bersedia berbincang kerana pendekatan kita inklusif.

“Maknanya dalam membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (perusahaan kecil dan sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama, jadi pendekatan agak berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran ACCCIM di sini hari ini. 

Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina ACCCIM berkata, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang akan berlangsung hujung bulan ini bersifat lebih inklusif dengan jemputan penyertaan masyarakat Cina dan India. – Gambar Facebook Fadillah Yusof, 15 Februari, 2024

Sebelum ini media melaporkan, Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijangka berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kongres berkenaan menumpukan kepada 10 kluster yang masing-masing diketuai pakar.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pendekatan terhadap sekolah daif, pembasmian kemiskinan tegar yang dilakukan sebelum ini tidak berasaskan kaum tertentu semata-mata.

Menurut beliau, hampir 100 peratus isu kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan diselesaikan dan kerajaan tidak mempersoalkan keluarga dibantu itu sama ada mereka Melayu, Cina atau India.

“Jangan ada isu racial profiling (membezakan kaum) sama ada keluarga Melayu, Cina dan India.

“Begitu juga kalau kita bercakap peluang perniagaan terutama peniaga kecil bumiputera, peluang bagi orang India. Atau pemain-pemain kecil masyarakat Cina, tempat perniagaan, gerai mereka, itu kita harus tumpu sebagai program dan agenda nasional.

“Sebab itu saya hendak supaya penyertaan dalam kongres ini bukan sahaja daripada bumiputera tetapi daripada syarikat-syarikat Cina,” katanya.

Beliau berkata, minggu hadapan pihaknya akan mengundang pemimpin daripada dewan perniagaan Melayu, Cina serta India untuk bersama memberi pandangan dan input supaya kongres ini tidak dianggap eksklusif.

“Ia masih menekankan teras tentang masalah dihadapi oleh orang Melayu bumiputera, tetapi pendekatan kita selaras dengan dasar negara Madani, harus lebih inklusif,” katanya. – 15 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related