KUALA LUMPUR – Dua bekas kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng wang hampir RM1 juta.
Mereka disyaki melakukan penyelewengan itu membabitkan dana institusi berkenaan untuk tujuan peribadi.
Sumber memberitahu, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit dipercayai ditahan secara berasingan pada kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Katanya, mereka masing-masing dipercayai ditahan di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan SPRM Perlis.
Penahanan itu, jelasnya, dikatakan dibuat ketika mereka diminta hadir memberi keterangan kepada agensi berkenaan.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan terbabit dari tahun 2022 hingga 2023.
“Suspek pertama menggunakan jawatan sebagai ‘Pegawai Khas’ kepada ketua pegawai kewangan IPTS itu, bagi untuk memindahkan wang daripada akaun institusi ke akaun peribadi miliknya dan (kepada) seorang lagi suspek.
“Jumlah pemindahan wang yang dilakukan adalah kira-kira 60 transaksi bank membabitkan hampir kira-kira RM1 juta dan kesemua wang terbabit, digunakan untuk tujuan peribadi,” katanya.
Pengarah SPRM Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan tangkapan itu.
Menurutnya, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Susulan penahanan itu, katanya, suspek pertama yang juga bekas ‘Pegawai Khas’ IPTS terbabit, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, manakala rakannya ke Mahkamah Majistret Kangar, Perlis untuk tujuan permohonan reman. – 13 Februari, 2024