KLANG – Dua ekor anjing pengesan Unit K9 dikerahkan untuk membantu mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini.
Pemerhatian Scoop mendapati, lokasi kejadian dikawal ketat polis manakala pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan operasi SAR.
Pesawat itu, yang dilapor diterbangkan dua juruterbang, terhempas di kawasan berhampiran rumah.
Media masih menunggu maklumat terkini daripada pihak berkuasa mengenai kejadian.
Terdahulu Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4.13 petang untuk memantau operasi berkenaan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan hubungan terakhir diterima daripada pesawat itu dilaporkan pada jam 1.35 petang, namun ia bukan membabitkan panggilan kecemasan.
Terdapat dua penumpang, termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat itu, dengan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini.
“CAAM mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC terhempas dekat Kapar, Selangor hari ini.
“Pesawat berkenaan yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi,” katanya menerusi kenyataan. – 13 Februari, 2024