KAPAR – Pesawat kecil yang terhempas di Kapar, Klang hari ini dikatakan meletup dan patah dua di udara sebelum menjunam, kata saksi yang juga penduduk tempatan.
Seorang penduduk, Nik Ibrahim Latif, 52, berkata, pesawat itu kelihatan berlegar di ruang udara sekitar Kampung Tok Muda, Jalan Benteng Kanan sebelum kelihatan tidak stabil.
“Pesawat itu kemudian meletup dan patah dua di udara sebelum menjunam ke darat.
“Letupan itu menghasilkan bunyi yang kuat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Azmi Abdul Hamid, 59, berkata ,serpihan sayap kapal terbang itu jatuh ke atas bumbung rumah.
“Serpihan kapal terbang itu terkena bumbung penduduk kawasan ini.
“Ada serpihan sayap dan sebuah roda di situ.
“Ia tidak jauh dari kawasan badan pesawat terhempas itu ditemukan. Saya tak pasti tahap kerosakan yang dialami rumah penduduk itu,” katanya.
Seorang penduduk, Jainaidi Nasiran, 55, memaklumkan pesawat itu kedengaran terbang semakin rendah sebelum terhempas dan menyebabkan debu tanah berterbangan.
Katanya, pesawat itu terhempas kurang beberapa ratus meter dari rumahnya.
Jainaidi berkata, ketika kejadian itu, dia sedang melakukan kerja di luar rumah sebelum mendengar bunyi enjin pesawat berkenaan.
“Saya ada dengar bunyi kapal terbang itu dari arah timur dan makin lama bunyi enjin makin rendah dan dekat dengan kawasan rumah saya.
“Bila saya menoleh ke arahnya bunyi kapal terbang itu menjunam ke darat.
“Tiada percikan api kelihatan dari kawasan pesawat terhempas tapi debu tanah berterbangan akibat ia menjunam ke darat,” kata pekerja swasta itu.
Berkongsi lanjut, Jainaidi berkata, dia berseorangan di rumah pada waktu itu kerana ibu dan adiknya berada di tempat lain.
Susulan situasi itu, katanya, dia menjenguk keadaan pesawat terbabit selepas orang ramai di sekitar menuju ke lokasi ia terjunam.
“Separuh dari badan pesawat itu berada di dalam tanah.
“Kawasan pesawat terhempas dalam 10 kaki persegi di mana kawasan ini adalah kebun kelapa sawit.
“Pesawat itu tidak melanggar pokok, ia terhempas di celah pokok-pokok.
“Saya tidak mendengar bunyi sesiapa meminta tolong dari pesawat itu,” katanya.
Tambahnya, ruang udara di kawasan itu selalu menjadi laluan pesawat, namun ia tragedi pertama membabitkan pengangkutan udara.
Terdahulu Scoop melaporkan, sebuah pesawat ringan terhempas dan bangkai pesawat ditemukan di sebuah kawasan ladang kelapa sawit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Scoop mengesahkan mengenai kejadian itu.
Menurut beliau, buat masa ini dipercayai dua orang mangsa terlibat.
Pihaknya akan memperincikan mengenai jenis pesawat dan kejadian tersebut. – 13 Februari, 2024