Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
El Nino: Cuaca lebih panas dan kering ketika ini dijangka hingga hujung Mac | Scoop

El Nino: Cuaca lebih panas dan kering ketika ini dijangka hingga hujung Mac

Dalam tempoh itu, suhu maksimum harian boleh melebihi 35°C pada awal petang dan setakat ini, suhu tertinggi dicatatkan METMalaysia adalah 36.9°C, iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu

4:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang menyaksikan cuaca lebih panas dan kering dengan ia dijangka berterusan hingga penghujung Mac depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh tersebut, litupan awan dan taburan hujan lazimnya adalah kurang di kebanyakan tempat, terutama di kawasan utara Semenanjung, termasuk Perak, Pahang serta Kelantan.

Menurutnya, ketiadaan hujan dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.

“Cuaca panas dialami pada ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun pada setiap Februari hingga Mei.

“Dalam tempoh ini, suhu maksimum harian boleh melebihi 35°C pada awal petang.

“Setakat ini, suhu tertinggi yang dicatatkan stesen meteorologi utama METMalaysia adalah 36.9°C, iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, berikutan fenomena El Nino kuat sedang melanda dunia pada ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di Malaysia boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

Susulan keadaan cuaca panas itu, ujarnya, semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan dalam penggunaan air.

Malah, katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengehadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan mereka terdedah kepada cuaca panas.

“Ikuti saranan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekalkan keadaan sihat semasa cuaca panas.

“METMalaysia sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara.

“Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia,” katanya. – 13 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related