Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
KJ bidas kenyataan Black Friday Takiyuddin, ‘Kenapa dia kena mengapi-apikan isu ini’ | Scoop

KJ bidas kenyataan Black Friday Takiyuddin, ‘Kenapa dia kena mengapi-apikan isu ini’

Khairy Jamaluddin bersetuju dengan hujah penghakiman Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengatakan keputusan dibuat itu bukan untuk mempertikaikan hukum Allah

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan ‘Black Friday’ yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Menerusi program podcast kelolaannya bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, iaitu Keluar Sekejap, Khairy berkata, Takiyuddin tidak sewajarnya mengapi-apikan perkara itu dari sudut politik, termasuk memainkan sentiment kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam kenyataannya itu.

“Saya perlu tegur Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas dan Ahli Parlimen Kota Bharu, pernah menjadi Menteri Undang-Undang semasa saya berada (dalam) Jemaah Menteri ketika pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kenapa dia (Takiyuddin) kena mengapikan isu ini…dia cakap keputusan ini bukan perkara kecil kerana ia adalah untuk mempertahankan undang-undang syariah secara langsung dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu, jadi dia pergi terus kepada 3R.

“Jadi benda ini dah dipolitikkan…seolah-olah benda ini assault (serangan) terhadap bukan sahaja kepada undang-undang syariah, tapi (juga) kepada raja-raja Melayu da kepada agama Islam. Ini yang saya tak suka,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah itu sebagai sejarah hitam kepada umat Islam di negara ini.

Terdahulu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah itu sebagai sejarah hitam kepada umat Islam di negara ini – Alif Omar/Scoop, 12 Februari, 2024

Dalam keputusan penghakiman 8-1 itu, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN Kelantan membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

Dalam masa sama, Khairy berkata dia bersetuju dengan hujah penghakiman Tengku Maimun yang mengatakan keputusan dibuat itu bukan untuk mempertikaikan hukum Allah, sebaliknya perkara ini dinilai daripada sudut bidang kuasa pembuat undang-undang terbabit.

“Apa dikeluarkan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun adalah tepat dan betul. Ini bukan satu keputusan untuk mempertikaikan hukum Allah after all sebahagian besar undang-undang ini adalah undang-undang takzir (man made), termasuklah undang-undang di bawah enakmen syariah dan beliau kata, ini bukanlah untuk mempertikaikan soal kedudukan mahkamah syariah itu sendiri, kita dah ada pindaan pada tahun 1988, mahkamah sivil tak boleh kacau mahkamah syariah.

“Ini adalah lebih kepada bidang kuasa (orang) yang buat undang-undang itu. Beliau (Tengku Maimun) banyak kali menekankan dalam ringkasan kenyataan, keputusan itu bukan untuk cabar undang-undang ataupun hukum Allah atau mencabar kedudukan mahkamah syariah.

Pada 22 Mei 2022, peguam, Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa – Abdul Razak Latif/Scoop, 12 Februari, 2024

“Anda tak boleh salahkan Mahkamah Persekutuan, bila orang dah buat petisyen, dia (Mahkamah Persekutuan) kena dengar. Itu memang tanggungjawab Mahkamah Persekutuan sama ada undang-undang itu sah atau tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan. Apa yang diputuskan lapan hakim itu adalah betul daripada segi teknikal,” katanya.

Pada 22 Mei 2022, peguam, Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Petisyen yang penuh kontroversi berkenaan sebelum ini, mendapat perhatian banyak pihak terutama bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak).

Manakala yang diisytiharkan sah adalah:

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan. – 12 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related