Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pembangkang ‘melompat’, ego mereka tercalar kerana saya anak Kelantan - Nik Elin | Scoop

Pembangkang ‘melompat’, ego mereka tercalar kerana saya anak Kelantan – Nik Elin

Beliau juga menyifatkan pihak yang berterusan tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen dikemukakannya, sebagai salah pemahaman

5:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak dalam petisyennya, mencalar ego pihak parti pembangkang yang mentadbir Kelantan.

Nik Elin berkata, pihak parti pembangkang dilihat ‘melompat’ dalam isu berkenaan, malah turut mengambil kesempatan untuk ia digunakan sebagai modal politik.

“Yang kita saman itu kerajaan pembangkang, mestilah mereka ‘melompat’. Lagi-lagi saya ni orang Kelantan, wanita Kelantan, (anak) perempuan Kelantan, dua orang yang tidak bertudung.

“Yang buat keputusan pun orang Kelantan, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man orang Kelantan. Mestilah ego mereka (pembangkang) tercalar, bukan sikit tapi besar

“Mereka hanya menunggang agama, kita cakap perkara (perundangan) yang betul, tapi tidak mahu dengar.

“Ada pemimpin Amanah kata, cari jalan lain, jalan apa lagi, kita dah beritahu tapi mereka yang tidak mahu mendengar dan hanya buat apa yang mereka rasa hendak buat,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau juga menyifatkan pihak yang berterusan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah itu, sebagai salah pemahaman.

Nik Elin berkata, pihak terbabit beranggapan dirinya mencabar agama Islam dan undang-undang syariah, sedangkan yang dicabarnya adalah takzir.

“Jadi mereka ini tidak faham (misconception), mereka tidak tahu, yang mereka ingat Nik Elin ini cabar Islam, cabar syariah, yang saya cabar itu takzir, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (takzir) 2019, ini apa yang pemerintah buat bukan Allah, bukan al-Quran dan hadis.

“Tapi mereka tidak faham, dalam keputusan penghakiman mahkamah pun yang arif dah tulis berkait takzir itu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan peguam itu dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man, yang mengetuai panel sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).

Oleh itu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.

Keputusan berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pihak yang turut mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik. – 11 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related