KUALA LUMPUR – Polemik yang sengaja memberikan gambaran negatif kononnya Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu dihentikan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zamri Zainal Abidin berkata, hal demikian kerana keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid adalah bebas pengaruh politik, selaras dengan doktrin pengasingan kuasa iaitu badan pentadbiran, perundangan dan kehakiman yang diamalkan di negara ini.
Menurut beliau, polemik yang tidak berasas berhubung kes tersebut akan mencetuskan kekeruhan dan situasi negatif dalam masyarakat.
“Kita menyeru semua pihak agar bertenang dan berusaha memahami susur galur kes ini secara ilmiah.
“Ini kerana tanggapan-tanggapan negatif, khususnya yang banyak dilontarkan secara bebas di media sosial tidak membawa apa-apa kebaikan selain menimbulkan kekeruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk itu katanya, Yadim menyokong penuh usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar untuk menjalankan kajian segera ke atas alasan penghakiman kes tersebut yang akan disusuli perancangan lanjut bagi memastikan agenda penambahbaikan Mahkamah Syariah terus berjalan.
Katanya, Yadim percaya dan yakin penegasan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia kekal utuh, adalah berasas kuat kerana kedudukannya dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia.
“Kita bersedia memberikan bantuan dan kerjasama penuh sebagai saluran sebaran maklumat benar dan tepat kepada rakyat dalam isu ini dan juga lain-lain isu berkaitan agar agama Islam diperkasakan di negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan Nik Elin dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man, yang mengetuai panel sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).
Oleh itu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal.
Nik Elin yang berasal dari Kelantan dan anaknya memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.
Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama. – 10 Februari, 2024