KUALA LUMPUR – Meskipun peranannya sebagai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor tidak mudah dan bukan tugas enteng, Mohd Najwan Halimi enggan menjadikan ia alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawabnya itu sebaik mungkin.
Sebaliknya, hanya dalam tempoh kurang enam bulan sejak memegang jawatan itu pada Ogos tahun lalu, Najwan membuat pelbagai perancangan sistematik demi menggalakkan pembangunan belia, bidang sukan dan sektor keusahawanan negeri.
Berkongsi usaha dilaksanakannya kepada Scoop, Najwan berkata, dari aspek sukan, beliau menetapkan misi untuk mempromosikan Pelancongan Sukan yang menggabungkan aktiviti sukan dan riadah bagi menggalakkan ekonomi Selangor.
“Sebelum ini kebiasaannya orang nampak sukan adalah bidang yang tiada pulangan pelaburan (ROI) dan kita adakan sukan untuk kita dapat proud (rasa bangga).
“Kita bangga menang pingat, menang kejuaraan, tapi sebenarnya pulangan boleh diraih daripada sukan ini besar kalau kita boleh jana betul-betul Sport Tourism (Pelancongan Sukan) ini,” katanya pada temu bual eksklusif bersama Scoop, baru-baru ini.
Beliau berkata, sebagai contoh, pemilihan sekali lagi Selangor sebagai tuan rumah Kejohanan Badminton Berpasukan Asia adalah peluang untuk membolehkan kerajaan negeri menunjukkan kemampuan sebagai hos, menarik pelancong luar, menjana pendapatan dan membawa masuk pelaburan.
“Saya mahu mencipta impak positif bahawa sukan ini bukan hanya untuk kita riadah dan pertandingan, tetapi juga boleh menjadi industri yang mampu menjana ekonomi negeri serta memberi pendapatan kepada komuniti,” katanya.
Bagi mencapai sasaran itu, Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik berkata, kerajaan negeri juga sedang berusaha menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) bagi tahun seterusnya.
“Kita dah cuba berhubung dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana kali terakhir Selangor jadi hos Sukma adalah pada 1998, jadi kita nak kembalikan sukan itu di Selangor.
“Kita pun sedang dalam proses menaik taraf dan membina semula Stadium Shah Alam, jadi harap bila kita dah ada kemudahan sukan yang bagus, Selangor boleh menjadi lebih ke depan atau sentiasa dipilih untuk menganjurkan acara sukan, termasuk kejohanan berprestij,” katanya.
Berbicara mengenai usaha dijalankannya bagi portfolio keusahawanan pula, Najwan berkata, beliau mempunyai rancangan jelas untuk negeri berkenaan membangunkan segmen ‘creative economy’ yang mana negeri lain belum menerajuinya sebagai satu sektor boleh dikembangkan.
Katanya, kerajaan negeri mahu mengembangkan lagi sektor keusahawanan di Selangor bagi menukar persepsi kebiasaan masyarakat bahawa usahawan adalah sekadar penjaja, peniaga jalanan dan pengusaha produk perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang menghasilkan ‘kuih serta kerepek’.
Hakikatnya, beliau berkata, individu bergelar usahawan dan bidang keusahawanan itu sendiri memainkan peranan lebih besar serta membabitkan skop aktiviti semakin luas.
“Seni boleh ditakrifkan sebagai keusahawanan, digitalisasi pun sekarang ni dah jadi satu komponen penting dalam keusahawanan, jadi di Selangor kita mahu menggalakkan bidang keusahawanan ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai konteks keusahawanan, Najwan berkata, beliau bukan sahaja mahu melahirkan usahawan yang mampu menjana keuntungan semata-mata dan bersifat kejayaan peribadi.
Usahawan di negeri itu juga, katanya, diminta memikul tanggungjawab dengan ‘berkongsi kejayaan’ bagi mencipta lebih banyak peluang kepada orang lain daripada aspek pekerjaan, perniagaan dan capaian komuniti, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.
“Baru-baru ini pun, saya lancarkan program keusahawanan kita, buat satu program kursus untuk usahawan muda ini belajar macam mana nak buat pembungkusan, nak promosikan produk mereka, nak eksport ke luar negara.
“Kita memang ada banyak success story (kisah kejayaan) dan saya tegaskan usahawan ni kalau kita nak kembangkan daripada satu segi, dia kena cipta peluang,” katanya.
Ditanya mengenai sasaran masa depan pentadbirannya dan kerajaan negeri secara keseluruhan dalam sukan serta keusahawanan, Najwan berkata, kepimpinan pasukan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sentiasa konsisten dan komited memperkasakannya.
“Kita ingin tunjuk bahawa kita kerajaan yang terbukti mentadbir dengan betul dan mempunyai tatakelola baik dalam semua aspek, perkara serta bidang. Setiap tahun matlamat kita adalah untuk negeri dan negara ini stabil, manakala dari segi pelaburan masuk pun ada peningkatan.
“Dalam tempoh 15 tahun kerajaan ini memerintah, saya boleh kata tiada apa isu yang tercetus mengenai Menteri Besar, exco atau Adun kita yang terbabit dengan salah guna kuasa ke, rasuah ke.
“Di Selangor, kita sangat jaga kita punya peruntukan, jaga dana kita, ini kekuatan Selangor lah, kekuatan pentadbiran negeri ini. Kita nak pastikan kesinambungan baik itu berterusan dan kita menjadi kerajaan contoh supaya rakyat nampak kepimpinan kerajaan ini benar-benar laksana tugas, bukan hanya mahu mendapatkan kuasa,” katanya. – 10 Februari, 2024