Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Cadangan Kor Ming bertentangan Perlembagaan, berisiko rosak keharmonian: Asyraf | Scoop

Cadangan Kor Ming bertentangan Perlembagaan, berisiko rosak keharmonian: Asyraf

Umno menolak sekeras-kerasnya cadangan Nga Kor Ming bagi mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco

6:40 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan berisiko merosakkan keharmonian dicapai Kerajaan Perpaduan.

Itu penegasan Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengenai cadangan Kor Ming untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Menurutnya, walaupun tujuan cadangan berkenaan adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara, Umno berpandangan implikasi terhadap apa dirancang itu terlalu besar serta menyentuh kedudukan Melayu dan Bumiputera secara tidak langsung.

“Umno menolak sekeras-kerasnya cadangan Nga Kor Ming bagi mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan.

“Ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Asyraf berkata, Kor Ming mesti memahami bahawa isu tanah adalah isu maruah dan kedaulatan yang tiada tolak ansur bagi orang Melayu.

Katanya, cadangan seumpama itu hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan, mencetuskan polemik tidak perlu dalam kalangan rakyat, bahkan tidak selari dengan dasar Malaysia Madani dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Umno kekal dengan prinsip sebagai benteng Melayu dan Bumiputera dalam kerajaan.

“Kami tidak akan sesekali membenarkan sebarang isu yang menggangu-gugat kesejahteraan rakyat dan membelakangkan hak setiap kaum yang dipaterikan dalam Perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan perkampungan diasaskan sejak 76 tahun lalu itu.

Pengiktirafan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Unesco membolehkan kampung baru diangkat sebagai warisan kebudayaan Malaysia.

Jelasnya, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Pada Jun tahun lalu, Kor Ming dikatakan turut mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Rancangan Kor Ming itu mencetuskan ketidakpuasan hati beberapa pihak, termasuk gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) yang mendesak kerajaan memecat pemimpin terbabit kerana didakwa mencadangkan isu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Presiden Nasionalis, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya membantah cadangan Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco yang didakwa berbaur perkauman.

Manakala, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Datuk Mohd Foad Mat Isa menyelar cadangan Kor Ming itu dengan alasan senada bahawa ia menyentuh isu perkauman dan cuba memanipulasi fakta sejarah, selain memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri Selangor pada masa akan datang.

Pengarah dan penerbit drama, Michael Ang menerusi Instagram, turut mengkritik kenyataan Kor Ming dan mempersoalkan kewajaran pengiktirafan perkampungan berkenaan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, memandangkan Kampung Baru Cina berstatus kurang daripada 100 tahun, selain meminta semua pihak untuk berhenti membangkitkan isu seumpama itu yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Menyedari cadangannya ditempelak ramai, Kor Ming menerusi kenyataan menegaskan, segala tuduhan mengatakan KPKT mencabar kepentingan Melayu dan Bumiputra di negara ini, tidak masuk akal.

Tegasnya, tuduhan berbangkit susulan rancangan itu juga tidak logik kerana ia hanya di peringkat cadangan.

“Saya menyambut baik cadangan daripada pelbagai pihak untuk mencalonkan kampung Melayu atau mana-mana tempat berpotensi dan bersejarah sebagai tapak warisan Unesco.

“Sepertimana disebut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan Unesco, masih dalam peringkat cadangan dan tidak seharus dijadikan isu perkauman,” katanya. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related