Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dakwaan Taib Mahmud diculik tidak masuk akal, kata Ketua Polis Negara | Scoop

Dakwaan Taib Mahmud diculik tidak masuk akal, kata Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut meminta supaya fakta mengenai Taib Mahmud yang sebelum ini dikatakan telah dilarikan itu, diperbetulkan

12:35 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Dakwaan bahawa bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diculik adalah tidak masuk akal kerana beliau berada di kediamannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut meminta supaya fakta mengenai Taib yang sebelum ini dikatakan telah dilarikan itu, diperbetulkan.

Jelasnya, polis telah menerima beberapa laporan kononnya beliau telah dilarikan dan telah membuka kertas siasatan.

“Ada beberapa laporan telah dibuat dan mungkin salah fakta dengan antara berita yang didengari itu tidak tepat, sebab bukan datang dari Ketua Polis Sarawak atau Ketua Polis Negara sendiri.

“Daripada hospital dia datang ke rumah kediamannya, dia demam, adakah dilarikan? Tidak.

“Nak kata dia diculik tak masuk akal. Anak dia tengok dia di rumah. Adik-beradik dia pun tengok dia di rumah, ada doktor, ada nurse (jururawat). Fakta sebelum ini (perlu) perbetulkan,’’ katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 21/2024 Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial kononnya Taib Mahmud telah diculik dari hospital di Sarawak oleh seorang ahli keluarganya.

Laporan itu mendakwa lewat malam Sabtu lalu, seorang ahli keluarga terdekat telah mengeluarkan semua peralatan perubatan yang melekat pada tubuh Taib Mahmud tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Susulan itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam kenyataannya berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sedang menyiasat hantaran di media sosial itu.


Semalam, Toh Puan Raghad Kurdi Taib yang juga isteri kepada Taib Mahmud menafikan dakwaan beliau mengeluarkan suaminya itu dari sebuah hospital di Sarawak.

Melalui hantaran di Instagram, beliau berkata, apa yang didakwa itu adalah tidak benar dan mendakwa membuktikannya menerusi nota tulisan tangan jururawat.

Nota itu turut diselitkannya melalui hantaran berkenaan. – 7 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related