KUALA LUMPUR – Kewujudan kartel yang mengeksploitasi harga dan membolot tiket penerbangan, menjadi punca kepada peningkatan kes penipuan pakej umrah tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, modus operandi kartel ialah memonopoli pembelian tiket penerbangan dan kemudian menaikkan harga dalam pakej umrah.
“Dulu masalahnya harga tiket penerbangan kartel pegang, itu yang buat hancur (industri), ada yang tekan sampai RM5,000 untuk tiket penerbangan.
“Sekarang ini kartel masih ada, tapi tidak seperti dulu, sekarang mereka pun takut hendak beli tiket awal dalam jumlah yang banyak, takut tidak boleh jual. Mereka yang masih membeli dengan kartel, dengarnya perlu bayar harga pakej lebih mahal.
“Jadi sekarang ramai (terutama ejen syarikat umrah sah) beli secara terus dengan syarikat penerbangan tanpa melalui kartel.
“Bila persatuan bising, pengusaha bising dan media turut bantu hinggakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) campur tangan, jadi sekarang harga dah terkawal dengan harga tiket untuk seorang jemaah umrah dalam lingkungan RM3,100 hingga RM3,400,” katanya kepada Scoop baru-baru ini.
Beliau berkata, untuk tahun ini, harga lantai bagi pakej umrah ekonomi kekal bermula daripada RM7,800 seperti tahun lalu.
“Tahun ini harga pakej sama juga seperti tahun lalu kerana tiket penerbangan turun harga kepada RM3,400 termasuk cukai, namun harga hotel penginapan masih tinggi,” katanya.
Selain itu beliau berkata, bakal jemaah umrah perlu berhati-hati dalam memilih pakej umrah terutama pada harga yang tidak munasabah untuk mengelak berlakunya penipuan.
“Papuh turut menyarankan orang ramai supaya menyemak status sesebuah syarikat agensi pelancongan sama ada mereka berdaftar dan memiliki lesen umrah sebelum bayaran dibuat.
“Dalam perniagaan, penipu itu memang ada, selagi ada kecenderungan itu mereka akan terus menipu, jadi penguat kuasa seperti polis ada bidang kuasa untuk tindakan lanjut manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) boleh membatalkan lesen perniagaan,” katanya.
November lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat membabitkan kerugian bernilai RM14.2 juta.
Kes itu kemudian mendapat perhatian Menteri Motac, Datuk Seri Tiong King Sing yang kemudian mengarahkan lesen syarikat itu digantung selama enam bulan.
Scoop sebelum ini melaporkan mengenai rintihan mangsa penipuan syarikat pengendali umrah yang terpaksa ‘berputih mata’, bukan hanya tidak dapat menjejak kaki ke Mekah, wang juga lesap begitu sahaja.
Salah seorang mangsa, Saadiah A Majid, 55, ketika ditemui Scoop berkata, kebanyakan jemaah yang ditipu syarikat terbabit bukan semuanya daripada kalangan orang berada sebaliknya ramai adalah golongan B40.
Saadiah yang juga kakitangan awam, memaklumkan dia telah membayar pakej berjumlah RM28,360 kepada syarikat terbabit bagi mengerjakan umrah untuk empat beranak pada 15 Mac tahun lalu.
Malangnya 10 hari sebelum penerbangan itu, mereka tidak mendapat maklumat lanjut daripada syarikat termasuk mengenai tempahan hotel dan sebagainya sekali gus memaksa dia sekeluarga menarik diri dan meminta ganti rugi.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Minah Basir, 47, pula melahirkan kekecewaan kerana sudah beberapa kali membuat laporan polis namun akhirnya laporan berkenaan diputuskan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) atau Rujuk Agensi Lain (ROA).
Dia mendakwa laporan berkenaan dikategorikan sebagai NFA hanya kerana pihaknya menulis mahu menuntut semua wang. – 8 Februari, 2024