KUALA LUMPUR – Meskipun anak sudah tiada, perasaan kasih sayang, ingatan dan peranan seorang ibu untuknya tidak mungkin lenyap hingga ke hujung nyawa.
Bagi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, sebagai bonda kepada Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, baginda akan melaksanakan tanggungjawabnya untuk meneruskan hasrat Almarhum dalam menguruskan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ).
Titahnya, peranan itu tetap akan diteruskan walaupun baginda kini bergelar Raja Permaisuri Agong.
“Sebagai bonda kepada Almarhum Tunku Abdul Jalil, adalah menjadi tanggungjawab saya bagi meneruskan hasrat Almarhum untuk membantu pesakit kanser yang tidak berkemampuan,” titah baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah YKTLJ 2023 di Istana Polo, Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah YKTLJ, Datuk Dr Mohd Khairi Yakub dan Kolonel (B) Datuk Mohamed Perang Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif yayasan berkenaan, Mohd Ikmal Izam Zaini.
Hadir sama, setiausaha, Lilian Low, juruaudit, Huang Shze Jun serta kakitangan YKTLJ.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), Mohd Anizam Jamian dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamudin Abd Rahim.
Pada mesyuarat itu, pembentangan laporan prestasi dan pencapaian YKTLJ bagi tahun 2023 dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong.
Antara aktiviti dan program dilaksanakan YKTLJ pada tahun lalu, seperti Laksamana Run, Majlis Makan Malam Amal, menaik taraf Pusat Rawatan Harian Onkologi di hospital, lawatan ke rumah dan wad pesakit serta mewujudkan sukarelawan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Ditubuhkan pada tahun 2016, YKTLJ sudah membantu lebih 3,718 kes membabitkan peruntukan lebih RM11.3 juta, termasuk beberapa kemudahan untuk rawatan pesakit kanser di hospital di seluruh Johor.
Tunku Abdul Jalil yang juga anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim mangkat 5 Disember 2015 pada kira-kira jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Almarhum Tunku Abdul Jalil yang diputerakan pada 5 Julai 1990 dan dilantik sebagai Tunku Laksamana Johor tanggal 22 November 2012, mangkat pada usia 25 tahun akibat kanser hati. – 6 Februari, 2024