KUALA LUMPUR – Kemerosotan kualiti sistem pendidikan negara kini bukan berpunca daripada kesilapan atau kegagalan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, malah bebanan masalah itu tidak sepatutnya diletak di bahu beliau.
Pakar pendidikan yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, kemerosotan itu adalah hasil kelemahan dasar dan sistem diamalkan dalam jangka masa sudah berlarutan sekian lama.
Katanya, masalah itu bermula sejak beberapa tahun lalu dan bertambah buruk dengan kegagalan kita melakukan pemulihan pendidikan pasca pandemik.
“Kemerosotan kualiti sistem pendidikan negara adalah ‘real’ (benar). Benar-benar sedang berlaku. Bukan lagi persepsi atau sekadar andaian.
“Adakah beban kemerosotan ini sepenuhnya (diletakkan) atas bahu Menteri Pendidikan sekarang? Tentulah tidak. Malah dalam banyak isu pendidikan yang sedang berlaku, bukan pun bermula di era Menteri Pendidikan sekarang. Hampir kebanyakan adalah beban yang terpaksa beliau warisi.
“Jadi sebagai rakyat bertanggungjawab, kita haruslah lebih berhati-hati ketika menuding jari mencari punca dari siapa sebenarnya?” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, kualiti sistem pendidikan Malaysia yang sedang merosot dapat dilihat menerusi pengesahan tercatat dalam data rasmi negara, justeru situasi itu tidak boleh dinafikan, apatah mempertahankan kononnya pendidikan di Malaysia ketika ini ‘baik -baik sahaja’.
Lebih menjengkelkan, tegasnya, apabila ada pihak yang mengeluarkan kenyataan bahawa ‘pencapaian pendidikan negara luar biasa’.
“Sikap menafikan pendidikan negara merosot sedangkan berbagai data rasmi mengesahkan kemerosotan sedang berlaku adalah tindakan tidak bijak, malah akan menjauhkan rasa hormat dan kepercayaan orang kepada kita (Malaysia),” katanya.
Anuar berkata, sebenarnya masalah itu sememangnya disedari dan banyak data yang menunjukkan keadaan itu sedang berlaku, malah beliau sendiri berulang kali secara terbuka mengingatkan situasi ini akan terus berlaku.
“Akhirnya seperti dijangkakan, keputusan Program Penilaian Pelajar Internasional (PISA) mengesahkan kualiti pendidikan negara memang sedang merudum,” katanya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, sebahagian besar negara yang menunjukkan kemerosotan teruk PISA pada 2022 adalah dalam kalangan negara mundur, khususnya di benua Afrika.
“Ada negara mundur yang tutup terus sistem pendidikan mereka, bukan sekadar tutup sekolah mereka sahaja, jadi soalnya tak kan kita sebagai rakyat Malaysia selesa dan gembira bila negara kita dikategori bersama negara mundur? Apa impaknya dari kaca mata pelabur luar?” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara tidak boleh berada dalam penafian mengenai keadaan sistem pendidikan ketika ini.
Jelasnya, terdapat kebimbangan mengenai pendidikan di negara ini, termasuk apabila merujuk kepada kemerosotan ketara Pisa pada 2022.
“Kegagalan kita adalah obsesi pada kejayaan lampau. Alasan diberikan adalah Covid-19 tetapi ia turut menjejaskan semua negara, termasuk Laos, Kemboja dan Indonesia.
“Kenapa kita gagal dalam pemarkahan ini? Ini adalah soalan yang perlu kita tanya sebelum bergerak ke hadapan. Kita tidak boleh berada dalam keadaan penafian,” menurut Anwar. – 5 Februari, 2024