KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kontrak perolehan membekal dan mengurus kenderaan kerajaan dikendalikan sebuah syarikat swasta dilihat sebagai merugikan negara.
Perdana Menteri berkata, kenyataan itu bukan baru disuarakannya, malah pernah dibangkitkan ketika menjawat Menteri Kewangan pada pemerintahan sebelum ini.
“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam (menggunakan) kemudahan (yang disediakan) Spanco, dan pendirian tegas saya terhadap Spanco (bermula sejak) ketika saya pernah menjadi menteri kewangan. Siasat mereka.
“Saya tidak tahu di mana silap mereka (Spanco), tetapi saya tahu ia tidak betul. Saya tahu ia merugikan negara, dan saya tahu penjawat awam tidak berpuas hati dengannya,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Anwar menambah, walaupun tiada ‘kehendak politik’ untuk mengambil tindakan terhadap syarikat itu sebelum ini, pentadbirannya kini komited menangani kes sedemikian.
Sebelum ini, seorang taikun perniagaan mendedahkan dirinya telah menyaman kerajaan Malaysia atas isu penamatan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada dua syarikat selepas seorang pemimpin mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Mac 2020.
Beliau turut mendedahkan bahawa kontrak yang diberikan kepada syarikat pembekal kenderaan kerajaan yang dilantik adalah RM700 juta lebih tinggi.
Rentetan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap dakwaan dan pendedahan ahli perniagaan itu.
Bulan lalu Scoop melaporkan SPRM menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia.
Sumber memberitahu Scoop, ia merupakan kesinambungan kepada siasatan SPRM sejak Julai tahun lalu.
Turut diserbu beberapa syarikat berkaitan bagi melengkapkan siasatan SPRM.
Pada 31 Januari lalu, SPRM memaklumkan telah membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai kira-kira puluhan juta ringgit.
Pembekuan itu susulan daripada siasatan yang dijalankan SPRM terhadap seorang ahli perniagaan berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan sejak Julai tahun lalu.
Menurut sumber, sebelum ini SPRM turut menyerbu kediaman dan syarikat seorang ahli perniagaan berusia 70-an tersebut serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan. – 5 Februari, 2024