SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan Ahli Majlis diisi golongan profesional dalam bidang pembangunan sesebuah bandar.
Baginda bertitah, ia termasuk Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang yang perlu dianggotai bukan sahaja ahli politik, tetapi juga golongan profesional.
“Jika boleh beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan Ahli Majlis.
“Di samping itu ahli Majlis juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi kaum yang menetap di Bandaraya Klang agar semua kaum dapat diwakili wakil mereka mengikut jumlah yang berpadanan dengan bilangan sesuatu kaum,” titahnya.
Sultan Selangor berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pagi ini.
Baginda berkenan melafazkan pengisytiharan MBDK serta mengumumkan pelantikan Datin Paduka Noraini Roslan sebagai datuk bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkuat kuasa 23 November tahun lalu.
Sultan Sharafuddin turut berkenan mengalungkan kalung rasmi serta mengurniakan watikah pengisytiharan MBDK kepada Noraini.
Acara bersejarah itu disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Baginda bertitah, Ahli Majlis MBDK, Datuk Bandar dan kakitangan PBT itu diingatkan agar memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi serta berintegriti.
“Jauhilah dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu.
“Tuan-tuan semua kena turun ke padang bagi mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
“Amalkanlah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak,” titahnya.
Sultan Selangor bertitah, Datuk Bandar dan Ahli Majlis MBDK perlu mengambil serius keperluan asas rakyat, terutama isu banjir.
Titah baginda, sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti hujan lebat, banjir besar akan melanda sebahagian Klang dan menjejaskan kehidupan penduduk.
“Beta mengharapkan Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil serius mengenai masalah ini dengan memikirkan langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya.
“Pelan rancangan rapi dan teratur perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang.
“Pendapat pakar perlu diperolehi bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir ini, dapat diatasi dengan berkesan,” titah baginda.
Sementara itu, baginda menzahirkan kesyukuran kerana Klang berjaya melalui pelbagai fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan hingga hari ini.
Kejayaan itu, titahnya, membolehkan rakyat di Klang menikmati pembangunan dan kemajuan pesat.
“Beta mahu melihat Klang menjadi bandaraya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat negeri Selangor dan membangun ke tahap lebih cemerlang dan dikenali dengan imej bandaraya bersih, di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah,” titah baginda. – 5 Februari, 2024