KUALA LUMPUR — Permohonan asal Datuk Seri Najib Razak untuk Pengampunan Diraja adalah atas pertimbangan beliau tidak diberikan ‘perbicaraan yang adil’ sehingga dijatuhkan hukuman bersalah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi ketika mengulas mengenai proses pengampunan itu berkata, bekas Perdana Menteri itu bukan memohon pengampunan kerana beliau mengaku bersalah.
“Dia bukan mohon Pengampunan Diraja kerana mengaku bersalah. Dia mohon pengampunan penuh. Tidak timbul isu kurang tempoh penjara dan denda.
“Itulah sebab MKT Umno bersetuju kemuka ‘warkah rayuan’,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
MKT semalam telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai permohonan pengampunan Najib dan kemudian memutuskan untuk mengadakan petisyen bagi mendapat pengampuan penuh ke atas beliau.
Susulan itu, seramai 145 daripada 191 ketua Umno bahagian telah hadir pada mesyuarat tertutup hari ini untuk membincangkan mengenai petisyen bagi mengumpul tandatangan ahli Umno di seluruh negara sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk mempertimbangkan keputusan Lembaga Pengampunan.
Dalam hantarannya itu, Puad turut mengkritik bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang didakwa tidak memahaminya.
“Dia patut tanya ‘I beg your pardon’,’’ kata Puad.
Tony baru-baru ini telah membuat sindiran terhadap dalam hantaran di Facebook memgenai pengampunan Najib hingga mencetuskan kemarahan beberapa pihak.
Ia termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mengumumkan akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menggesa siasatan terhadap Tony yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong. – 4 Februari, 2024