KLANG — Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata masyarakat mempunyai hak untuk membuat laporan polis jika ada anggota termasuk beliau sendiri yang didapati melanggar undang-undang.
Ini kerana, katanya masyarakat perlu melaksanakan hak tersebut supaya siasatan dapat dijalankan.
“Sekiranya mana-mana anggota atau pegawai polis termasuk saya melanggar undang-undang, (maka) laporkan (kepada polis) supaya boleh siasat.
“Kita tidak mahu tuduhan kita melindungi mereka yang terlibat. Mana-mana anggota atau pegawai terlibat, mereka akan disiasat dengan adil dan dituduh di mahkamah,’’ katanya kepada media selepas mengadakan program Walkabout Pencegahan Jenayah di sini hari ini.
Turut hadir pada program berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai jenayah rasuah dalam kalangan polis, Razarudin mengakui gaji merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kegiatan berkenaan.
Jelasnya, jika dibandingkan dengan Singapura, gaji anggota polisnya sememangnya tinggi.
“Itu (Singapura) ikut negara yang kecil. Di negara ini kita ada 137,000 anggota polis dan tahun ini sahaja ada 4,000 anggota polis yang akan masuk lagi,’’ katanya.
Berdasarkan laman web Pasukan Polis Singapura, gaji permulaan bagi anggota polis di negara itu adalah dari SGD4,850 hingga SGDD5,600 (RM17,022.45 to RM19,654.79), di mana ia dibuat berdasarkan kepada kelayakan akademik, pengalaman kerja dan memenuhi Perkhidmatan Negara.
Beliau turut memberi contoh gaji konstabel di Malaysia adalah kira-kira RM2,500 termasuk elaun dan jika mereka menetap di Kuala Lumpur maka ia jatuh kepada kategori miskin bandar.
Tetapi jika anggota berkenaan, katanya menetap di Kuala Nerang (Kedah), Besut (Terengganu) dan Kinabatangan atau Beluran (Sabah) yang turut mendapat elaun kesusahan antara RM500 hingga RM1,000 maka ia dianggap banyak.
Namun katanya, jika faktor gaji, ada juga pengarah agensi lain yang ditangkap kerana rasuah justeru apa yang penting adalah mendidik semua anggota polis supaya menolak rasuah.
“Itu salah satu faktor, kita bawa isu ini kepada kerajaan. Kalau gaji sedikit, tetapi pengarah (agensi lain) juga ada yang kena tangkap.
“Adakah gaji dia sikit, saya akui tapi kalau kita kata begitu (faktor) gaji kita kena educate anggota kita supaya tolak rasuah,’’ katanya.
Pada 7 Oktober lalu, polis mencadangkan kepada kerajaan supaya skim gaji permulaan bagi Konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Polis turut mengemukakan beberapa cadangan khususnya bagi meningkatkan tahap integriti pasukan. – 4 Februari, 2024