KUALA LUMPUR – Lebih 1,500 orang menjadi mangsa penipuan tiket konsert di Singapura sepanjang tahun lalu, menyebabkan kerugian S$1.1 juta (RM3.86 juta).
Channel News Asia melaporkan, polis memberikan maklumat terkini mengenai kes berkenaan untuk tempoh Januari 2023 sehingga Januari lalu dalam satu peringatan dikeluarkan semalam.
Polis Singapura turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli tiket konsert daripada pihak ketiga khususnya secara dalam talian, menjelang konsert artis popular seperti Ed Sheeran, Taylor Swift dan Shinee beberapa bulan akan datang ini.
Menurut polis, sindiket penipuan biasanya akan menyiarkan iklan tiket di media sosial dengan kebanyakannya dilaporkan berlaku dalam Telegram.
Mangsa kemudiannya diarahkan membuat pembayaran melalui PayNow atau pindahan bank.
Selepas membuat pembayaran, sindiket kemudiannya akan meminta bayaran tambahan dengan alasan-alasan tertentu, menangguhkan penghantaran tiket dan kemudiannya gagal dihubungi.
Beberapa mangsa mengadu tiket yang dibeli tidak sah ketika berada di pintu masuk lokasi konsert diadakan. – 4 Februari, 2024