Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
KPM selesai siasat kes buli MCKK, tunggu tindakan pihak berkuasa: Fadhlina | Scoop

KPM selesai siasat kes buli MCKK, tunggu tindakan pihak berkuasa: Fadhlina

Beliau berkata, kementeriannya sudah menyerahkan hasil siasatan itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan

7:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang hangat diperkatakan pada September lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyerahkan hasil siasatan itu kepada pihak berkuasa untuk meneruskan tindakan susulan.

KPM sudah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan apa saja tindakan kerana di peringkat KPM kita sudah selesai (jalankan siasatan).

“Kita tunggulah tindakan daripada pihak berkaitan,” katanya kepada media pada selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Pulau Pinang di Nibong Tebal hari ini.

Menurut Fadhlina Sidek di peringkat KPM mereka sudah selesai menjalankan siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut. – Gambar Facebook Fadhlina Sidek, 3 Februari, 2024

Terdahulu, seorang ibu mendakwa anaknya yang juga pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak menjadi mangsa buli dalam kejadian pada 24 September tahun lalu, sekali gus dia menuntut keadilan berhubung insiden itu.

Mangsa mendakwa diserang empat senior sehingga cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, tindakan ibu pelajar itu menularkan insiden terbabit mencetuskan kekesalan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK kerana ia dikatakan memburukkan imej sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis sudah menerima laporan perubatan lengkap mangsa daripada Hospital Kuala Kangsar pada 24 November lalu dan kertas siasatan kes itu dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara pada Disember.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi amaran tidak akan berkompromi dalam sebarang kes buli di MRSM, meskipun jika pelakunya anak kenamaan.

Asyraf berkata, pihaknya juga tidak sesekali menutup perilaku berkenaan jika kes buli dikesan berlaku di MRSM.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian berkenaan, bagi mempercepat reformasi pendidikan.

Katanya, agenda KPM adalah memastikan kurikulum dan isu berkaitan prasekolah seperti pembelajaran serta silibus diselaras kementerian itu.

“Agenda kita adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu prasekolah dapat kita selaraskan semuanya di bawah KPM sebab itu baru-baru ini, mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas khas sudah berlangsung bagi membincangkannya.

“Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan dan (apa) dijayakan dalam konteks prasekolah ini, antara lain ialah perluasan prasekolah yang akan kita bincangkan dari segi kualiti pendidikan yang juga sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan untuk menjayakan isu prasekolah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Jemaah Menteri pada 24 Januari lalu memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula, supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.

Justeru, KPM diarah untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu. – 3 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related