KUALA LUMPUR – Produk Dendeng Nyet Berapi keluaran terbaharu usahawan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman atau Khairul Aming berjaya merekodkan jualan RM1.2 juta dalam masa tiga minit selepas ia dilancarkan menerusi akaun TikToknya malam ini.
Sebanyak 80,000 peket Dendeng Nyet Berapi telah dijual pada 9 malam tadi menerusi platform berkenaan.
“Total 80,000 unit Dendeng Nyet Berapi telah sold out dalam masa 3 minit 39 saat and i cant thank you enough for the support dari 3 tahun lepas. Terima kasih guysss,” katanya menerusi hantaran di dalam media sosialnya hari ini.
Keadaan ini menyebabkan peminatnya kecewa kerana terpaksa berebut untuk mendapatkan produk yang dijual pada harga RM14.99 sepeket.
Bagi yang berjaya membelinya, mereka meluahkan kegembiraan di media sosial meskipun hanya dapat membeli satu paket sahaja, tetapi itu cukup untuk memberi peluang mereka merasai produk terbaharu tersebut.
“Alhamdulillah!! Satu pencapaian dalam hidup,’’ demikian luah EJ
“3 minit 30 saat je sold out 80K packet,’’ lapor Azman AR
“Dari pukul 9 (malam) try nak beli, bersaing pulak dengan 200,000 lebih. 3 minit je sold out,’’ kata ND Home pula.
Isnin lalu, Khairul Amin mengumumkan bakal mengeluarkan produk kedua, Dendeng Nyet Berapi, selepas tiga tahun sambal Nyet dihasilkan.
Produk terbaharu itu, kata Khairul Aming telah mengambil masa selama setahun untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta memakan modal sebanyak lebih RM2 juta bagi persiapan menyediakan mesin serta pengubahsuaian kilang.
“We hope you will like it (kami berharap anda sukakannya), kalau ada kekurangan boleh inform (maklumkan) kita untuk penambahbaikan. Jumpa anda di hari launching nanti,” katanya.
Produk pertamanya, Sambal Nyet dan jualan produk terbabit mencecah RM20 juta iaitu peningkatan 40% dari 2022. – 2 Februari, 2024