Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
MMA mahu KKM siasat kematian budak 5 tahun selepas ditinggalkan dalam kereta di Hospital Shah Alam | Scoop

MMA mahu KKM siasat kematian budak 5 tahun selepas ditinggalkan dalam kereta di Hospital Shah Alam

Kementerian perlu menyiasat sama ada keletihan akibat terlalu banyak bekerja mungkin menjadi faktor penyumbang untuk mengelak kejadian serupa

4:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas ibunya, seorang kakitangan Hospital Shah Alam, meninggalkannya secara tidak sengaja di dalam kereta selama beberapa jam.

Sambil menyatakan ia bukan kejadian pertama membabitkan kakitangan hospital, Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata, kementerian perlu menyiasat sama ada terdapat faktor sama dalam kes tersebut.

“Ini adalah satu lagi insiden melibatkan kakitangan hospital, oleh itu, kami menggesa KKM untuk melihat (sama ada) keletihan akibat terlalu banyak bekerja mungkin menjadi faktor penyumbang untuk mengelak kejadian serupa.

“Keletihan boleh menyebabkan hilang tumpuan, ingatan dan pertimbangan,” katanya kepada Scoop.

Beliau menambah, MMA menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk memastikan mereka berehat dengan baik sebelum memandu, manakala ibu bapa harus mencari cara untuk mengingatkan diri mereka mengenai kehadiran anak di dalam kenderaan.

“Sesetengah aplikasi telah direka untuk tujuan ini dan harus dipertimbangkan untuk digunakan. Sebagai alternatif, nyahsenyapkan telefon anda dan tetapkan penggera untuk masa terbaik mengingatkan diri anda memeriksa tempat duduk belakang kenderaan,” katanya.

Awal hari ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia selepas diambil dari sebuah taska berdekatan sekitar jam 2 petang.

“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada jam 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, bedah siasat sudah dilakukan pada jam 2 petang semalam dan punca kematian masih menunggu siasatan makmal.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tiada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman ditemukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya. – 1 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related