Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tiada beza KWSP dan pencen, yang penting disiplin urus wang selepas bersara: Abang Jo | Scoop

Tiada beza KWSP dan pencen, yang penting disiplin urus wang selepas bersara: Abang Jo

Beliau menyambut cadangan kerajaan Persekutuan mengenai pemansuhan pencen kakitangan awam lantikan baharu bermula Februari ini

6:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berpandangan tiada beza yang ketara sama ada kakitangan awam diberikan pencen atau membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, apa yang lebih penting adalah penjawat awam perlu lebih berdisiplin dalam menguruskan wang apabila bersara kelak.

“Bagi saya tiada beza antara EPF (KWSP) dan pencen. Hanya satu sahaja, kadang EPF itu kita tak ada disiplin, kita keluarkan duit itu semua, itu sahaja.

“Kalau anda ada disiplin, EPF ini ada undang-undang atau peraturannya, boleh keluarkan sekian jumlah pengeluaran setiap bulan,

“Jadi sama sahaja seperti pencen. Jadi tidak ada beza antara diberi pencen atau KWSP. Negara seperti Norway sudah melaksanakan perkara seumpama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri jemputan Affin Bank Bhd ‘Market Outlook: Propelling Malaysia Forward 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu, Kabinet bersetuju menetapkan syarat pengambilan bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima pencen.

Bagaimanapun, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi KWSP.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua keputusan membabitkan penjawat awam akan turut terpakai bagi pelantikan politik dalam kerajaan.

Menurutnya, bermula 1 Februari ini, pencen akan dimansuhkan untuk semua penjawat awam baharu yang turut membabitkan pelantikan politik.

Namun, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap masih terdapat ruang perbincangan antara pihaknya dengan kerajaan sebelum dasar baharu pengambilan penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak juga sudah melaksanakan perkara sama dengan setiap pegawai baharu kerajaan negeri itu membuat caruman KWSP. – 30 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related