Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
SPRM masih teruskan siasatan terhadap Daim melibatkan beberapa kes | Scoop

SPRM masih teruskan siasatan terhadap Daim melibatkan beberapa kes

Semalam, bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan tidak isytihar 70 aset, satu akaun bank

9:17 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan terhadap beberapa lagi kes melibatkan Tun Daim Zainuddin biarpun bekas Menteri Kewangan itu dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan tidak mengisytiharkan harta membabitkan 70 aset dan satu akaun bank.

Bercakap kepada Scoop, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu melibatkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Menurut beliau, pertuduhan terhadap taikun itu semalam adalah melibatkan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 kerana gagal isytihar harta.

“Selepas pertuduhan itu, siasatan SPRM terhadap beliau (Daim) bagi kes-kes lain diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta.

Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin kelihatan tenang dan hanya menjawab faham dan minta dibicara selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Daim yang memegang jawatan dari 1984 hingga 1991 didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023.

Notis telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan harta membabitkan 70 aset dan satu akaun bank.

Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat Kertas Pandora yang dimulakan sejak Februari lalu.

SPRM berkata, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset, sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.

Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 September, 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.

“Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata SPRM.

Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Nai’mah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wanita itu juga didakwa dengan sengaja memberi satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI); empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI – 30 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related