Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Selepas berdepan tuduhan tidak isytihar harta, Daim ‘serang’ Anwar | Scoop

Selepas berdepan tuduhan tidak isytihar harta, Daim ‘serang’ Anwar

Daim menyatakan dirinya tidak bersalah dan menganggap tuduhan terhadapnya bermotif politik

12:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang berdepan tuduhan tidak mengisytiharkan harta membabitkan 70 aset dan satu akaun bank di Mahkamah Sesyen hari ini memaklumkan tidak sabar menunggu hari perbicaraan.

Dalam satu kenyataan, Daim yang menganggap tuduhan terhadapnya bermotif politik, menyatakan dirinya tidak bersalah

“Saya tidak akan berbicara mengenai tuduhan bermotifkan politik terhadap saya ini. Saya tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan kelak,” katanya.

Terdahulu selepas membayar wang jaminan RM280,000, beliau mengadakan sidang media di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah di sini.

Namun berikutan keadaan kesihatannya, ucapannya tidak boleh didengari media sebelum isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, meminta secara baik supaya sidang media ditamatkan dan pihak peguam memberikan kenyataan itu kepada media.

Tun Daim Zainuddin sempat mengadakan sidang media di hadapan pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, namun berikutan keadaan kesihatannya, ucapannya tidak boleh didengari. Pihak peguam kemudiannya memberikan kenyataan itu kepada media – Abdul Razak Latif, 29 Januari, 2024

Dalam kenyataan itu, Daim berkata, beliau ingin menyatakan sesuatu mengenai keadaan negara yang mana beliau turut menyokong Pakatan Harapan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

“Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1MDB. Tetapi kini, kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa, di samping janji-janji reformasi yang dimungkiri. Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya.

“Demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan.

“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya ke laut.

“Institusi bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik,” katanya.

Beliau turut mendakwa Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka.

“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Seharusya Anwar mesti sedar yang semua ini ada tempiasnya. Ketika sibuk melunaskan dendam lampau, ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat biasa berterusan.

“Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah,” katanya.

Daim berkata, beliau tidak peduli mengenai nasibnya dan membiarkan Anwar melemparkan apa sahaja terhadap dirinya.

“Tetapi saya khuatir nasib negara saya. Jadi, saya menyeru anda melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini.

“Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya. Seperti kata pepatah, ‘untuk memenangkan kejahatan, cukup sekadar orang baik tidak melakukan apa-apa’.

“Rakyat layak mendapat yang dijanjikan. Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah akan firman Allah SWT dalam Surah al-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji dalam kalangan orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat. Dan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,” katanya. – 29 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related