PETALING JAYA – Ahli Parlimen Selayang, William Leong telah menawar diri untuk menjadi ‘penghubung’ bagi memudahkan komunikasi antara pemaju lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) dengan penduduk yang membantah projek terbabit.
Beliau berkata matlamatnya adalah untuk mewujudkan jalan tengah yang akan menangani kebimbangan penduduk yang terjejas dan membolehkan projek itu bergerak ke hadapan.
Leong turut menjemput Ketua Eksekutif PJD Link (M) Sdn Bhd, Amrish Hari Narayanan, untuk terlibat secara langsung dengan penduduk bagi memahami keluhan mereka.
“Jika anda mendengar kenapa mereka membantah dan kebimbangan mereka, saya pasti ada cara untuk menyelesaikan isu ini.
“Saya adalah Ahli Parlimen Selayang, tetapi pada masa sama, sejak saya menetap di sini (Petaling Jaya), kepentingan penduduk diambil kira.
“Penduduk tidak akan membantah pembinaan lebuh raya itu tanpa sebab,’’ katanya pada sidang media hari ini.
Leong turut menekankan pentingnya menangani kebimbangan dan mempertimbangkan perspektif mereka.
Merujuk kepada laporan baru-baru ini bahawa projek Lebuh Raya PJD Link yang pada mulanya dibatalkan oleh kerajaan Selangor pada 31 Julai lalu telah dipertimbangkan semula, Leong menggesa pemaju menilai semula jajaran lebuh raya dan meneroka alternatif yang boleh dilaksanakan selain menekankan kepada kerjasama.
“Saya (juga) menyeru pemaju untuk bekerjasama dengan penduduk.
“Anda akan mendapati ia lebih menguntungkan. Dan bagi penduduk, mereka boleh menantikan kehidupan yang lebih baik.
Kerajaan Selangor pada mulanya membatalkan projek itu tahun lepas kerana kekurangan dalam laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA).
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 1 Ogos lalu memaklumkan bahawa pembatalan itu belum dimuktamadkan.
Projek itu masih boleh diluluskan jika pemaju memenuhi semua keperluan kerajaan negeri melalui penilaian SIA, EIA dan TIA, katanya.
Difahamkan tiga laporan telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, awal bulan ini Amirudin juga menjelaskan bahawa keputusan muktamad terletak kepada Kerajaan Persekutuan.
Sidang media hari ini dihadiri oleh pengerusi penduduk membantah Lebuh Raya PJD Link (ScRAP) dan Dhanaraj Arumugam, ketua Say No to PJD Link Highway Kinrara, bersama-sama pihak lain. – 27 Januari, 2024