Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Mekanisme, garis masa peralihan struktur baharu pendidikan prasekolah diperinci tempoh terdekat | Scoop

Mekanisme, garis masa peralihan struktur baharu pendidikan prasekolah diperinci tempoh terdekat

Fadhlina berkata, ia susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri menetapkan semua sistem pendidikan prasekolah akan diselaraskan di bawah KPM selepas ini

9:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan mekanisme dan garis masa bagi peralihan struktur baharu pendidikan prasekolah dalam tempoh terdekat.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri menetapkan semua sistem pendidikan prasekolah akan diselaraskan di bawah KPM bagi memastikan kualiti pendidikan negara terus dimartabatkan.

Menurutnya, reformasi pendidikan itu sangat signifikan dalam menjamin akses, pendidikan yang berkualiti serta intervensi awal bagi menangani keciciran di peringkat prasekolah.

“Ia adalah selaras dengan agenda reformasi pendidikan yang sedang diterajui KPM khususnya dalam memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

“Susul tindak telah disegerakan dengan pelibatan semua ketua jabatan dan bahagian dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian pada hari ini.

“Mekanisme dan garis masa bagi peralihan struktur baharu ini akan diperincikan dalam tempoh terdekat bersama kementerian terlibat serta pemegang taruh dalam institusi pendidikan awal kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Petang tadi, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, semua sistem pendidikan prasekolah akan diselaras oleh KPM selepas ini.
Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Kita lihat pendidikan prasekolah agak rencam, pelbagai dan kadangkala kita terima aduan daripada pihak ibu bapa tentang kualiti berbeza.

“Kita ingin pastikan dapat disediakan untuk rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah sebagai contoh (pendidikan) berkualiti dan kurikulumnya dapat diselaraskan untuk memastikan aspek pendidikan lebih terjaga,” katanya.

Isnin lalu, Anwar dilaporkan menggesa KPM untuk melihat semula sistem prasekolah dengan menyediakan kemudahan tambahan untuk pelajar di seluruh negara.

Ujarnya, ia berikutan kemerosotan prestasi pelajar di negara ini yang dicatatkan dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 berbanding skor yang diperoleh pada 2018.

Daripada 81 negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2022, sebanyak 58 negara mengalami penurunan mata skor termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman. – 24 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related