Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
BNM kekal OPR pada 3.00 peratus | Scoop

BNM kekal OPR pada 3.00 peratus

Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas kenaikan pertama bagi 2023

3:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas kenaikan pertama bagi 2023 diumumkan Mei lalu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

BNM berkata, pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari terus kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan berterusan bagi memaklumkan penilaian mengenai prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai prestasi ekonomi global, BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, dipacu oleh permintaan dalam negeri berikutan sokongan keadaan pasaran buruh yang kukuh.

Menurutnya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan tetapi perdagangan global masih lemah, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan berterusan dalam perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan.

“Walaupun ekonomi China terus menunjukkan pertumbuhan semakin baik meskipun pasaran harta tanahnya terus lemah,” katanya.

BNM berkata, inflasi keseluruhan global meningkat sedikit sebahagiannya disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, manakala inflasi teras terus sederhana.

Katanya, pendirian dasar bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak,” katanya.

Mengenai ekonomi Malaysia pula, BNM berkata, anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) menunjukkan kegiatan ekonomi bertambah baik pada suku keempat.

Ia berkata, pertumbuhan pada 2024 akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Katanya, pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka bertambah baik. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur pelbagai tahun yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan kemerosotan lebih besar dalam komoditi pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan pelaksanaan projek sedia ada dan projek baharu yang lebih pantas.

Katanya, seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menyederhana dalam suku keempat, terutamanya disebabkan oleh tekanan kos yang semakin reda.

“Secara keseluruhan, inflasi teras untuk 2023 masing-masing berpurata pada 2.5 peratus dan 3.0 peratus. Pada 2024, inflasi dijangka kekal sederhana.

“Risiko kepada prospek inflasi kekal tertakluk kepada perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.

“Yang penting, hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan,” katanya. – 24 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related