PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak culas membayar cukai kerana beliau sendiri menunaikan tanggungjawab berkenaan kepada kerajaan.
Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42, hari ini telah berkongsi cerita bagaimana beliau dikenakan cukai Kastam sebanyak RM500 bagi satu tong minyak zaitun yang diberikan seorang rakan dari negara Arab.
“Minyak itu dihadiahkan rakan dari negara Arab sejak beberapa tahun lepas, tidak pernah dikenakan cukai sebelum ini ketika saya masih Ketua Pembangkang.
“Bila saya jadi Perdana Menteri, dalam beberapa bulan selepas itu, JKDM kenakan cukai…RM500. Minyak itu saya bukan buat berniaga, saya guna sendiri.
“Tapi saya tidak merayu untuk tidak membayar, saya bayar juga RM500 itu. Kalau Perdana Menteri pun kena bayar cukai, rakyat lain jangan culas,” katanya.
Anwar berkata, biarpun sudah menjadi Perdana Menteri, tuntutan kepada kerajaan juga perlu dilaksanakan.
“Itu bezanya… ada yang rasa bila jadi Perdana Menteri, sudah hebat. Beli barang mahal-mahal tapi tidak mahu bayar cukai.
“Saya… minyak zaitun untuk makan sendiri dan keluarga pun dikenakan cukai tapi saya tetap bayar. Saya bayar kerana ingin menjadi contoh yang baik kepada rakyat,” katanya. – 24 Januari, 2024