Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Siasatan SPRM ke atas Mirzan bukan bermotifkan politik atau dendam: Fahmi | Scoop

Siasatan SPRM ke atas Mirzan bukan bermotifkan politik atau dendam: Fahmi

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa anaknya telah ditekan untuk memberikan keterangan supaya beliau boleh didakwa

12:59 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan tidak bermotifkan politik atau dendam, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sebaliknya, kata Fahmi, SPRM bebas menjalankan siasatan sekiranya ia merasakan wajar sambil menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berulang kali menyatakan badan berkenaan tidak bertindak atas arahan beliau.

“Saya tidak melihat ini (siasatan ke atas Mirzan) sebagai satu isu politik atau dendam. Itu mungkin timbul daripada perasaan dan persepsi beliau sendiri.

“SPRM bebas jalankan siasatan yang dirasakan wajar… kita (kerajaan) tak masuk campur.

“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa beliau tidak keluarkan arahan untuk lakukan apa-apa tindakan jadi terserah kepada SPRM untuk tindakan berlandaskan undang-undang yang dirasakan perlu dan wajar,’’ katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran pakej P-Hailing Rahmah di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri di sini hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Dr Mahathir bahawa siasatan SPRM ke atas Mirzan sebagai tidak berasas.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar khas semalam mendakwa, siasatan yang dilakukan SPRM terhadap anaknya Mirzan bermotifkan politik dan dendam. – Azim Rahman/Scoop, 23 Januari, 2024

Beliau turut menyarankan Dr Mahathir agar muhasabah diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh ‘mencalarkan’ imejnya sebagai seorang negarawan.

“Saya sarankan sebagai seorang negarawan, beliau (Dr Mahathir) harus muhasabah. Dalam meniti hari-hari senja ini kita perlu tinggalkan legasi yang murni daripada cuba keluarkan cerita-cerita seperti ini.

“Saya harap beliau lebih bermuhasabah,” katanya. 

Semalam Dr Mahathir mendakwa Mirzan telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan meskipun tiada kesalahan yang dilakukan.

“Anak saya telah ditekan untuk memberikan keterangan supaya saya boleh didakwa. Tiada kesalahan dikesan ke atas anak saya apabila beliau dipanggil untuk memberikan keterangan di SPRM,’’ katanya semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Pada 17 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah memanggil Mirzan, seorang ahli perniagaan ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Mirzan hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Perintah itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Pada 17 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah memanggil Mirzan Mahathir ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan. – Riduan Ahmad/Scoop, 23 Januari, 2024

Menurut kenyataan SPRM, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan. – 23 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related