KUALA LUMPUR — Rakyat atau keluarga mereka tidak boleh lebih kaya daripada negara kerana mereka boleh mengawal dan mempengaruhi keputusan penting kerajaan dan negara.
Bekas Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, mungkin kerajaan semasa memerlukan sesetengah individu atau keluarga yang mempunyai nilai bersih tinggi untuk mengisytihar aset bagi menentukan betapa kayanya mereka.
“Langkah ini mempunyai kesan jangka panjang yang positif dan memberi impak kepada orang ramai serta negara.
“Amalan mengisytihar harta ini dan cukai yang adil adalah pendekatan positif yang sepatutnya dialu-alukan oleh semua pihak terutama mereka yang sangat kaya,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak merujuk kepada sesiapa di dalam hantarannya itu.
Jelasnya, prinsip dan dasar ini telah dipraktikkan oleh kebanyakan kerajaan demokrasi dan negara lain.
Langkah ini, kata Salleh adalah usaha sebenar untuk memulakan tadbir yang baik dan pengagihan kekayaan yang adil untuk mencapai keadaan ekonomi yang baik serta bertenaga. – 20 Januari, 2024