Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kes kehilangan Bella: Rangka manusia ditemukan di rumah terbiar | Scoop

Kes kehilangan Bella: Rangka manusia ditemukan di rumah terbiar

Pakaian yang turut dijumpai di lokasi kejadian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan bagi pengesahan identiti mangsa

10:52 PM MYT

 

BATU PAHAT – Rangka manusia tidak sempurna ditemukan di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di sini hari ini dipercayai berkaitan dengan kes kehilangan Mira Sharmila Samsusah atau Bella sejak 14 Dis lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata rangka tersebut ditemukan kira-kira 2 petang selepas pihaknya dibawa ke lokasi kejadian oleh seorang daripada suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wanita itu.

Beliau berkata pakaian turut dijumpai di lokasi kejadian dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan bagi pengesahan identiti mangsa.

“Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita tersebut.

“Rangka ini akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk ujian DNA dan hanya akan dapat diketahui antara dua minggu hingga sebulan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi rangka itu dijumpai di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas dikatakan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, Bella, 32, tidak ditemui selepas itu dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda sahaja.

Sementara itu, kakak mangsa Norisham, 36, berkata ketika dimaklumkan tentang penemuan rangka manusia itu petang tadi, gerak hatinya tetap mengatakan ia bukan Bella. 

Bagaimanapun, katanya jika ia disahkan adiknya, mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Allah namun berharap hukuman setimpal dikenakan terhadap pelaku kes itu. – 19 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related