KUALA LUMPUR – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres berdekatan Kampung Gertak Anak Buaya di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, Kelantan, awal pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Pegawai Bomba Kanan (PBK II) Azmi Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.57 pagi.
Menurutnya, mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang kereta jenis Honda Accord serta pemandu bas ekspres.
“Terdapat sembilan mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. Tiga disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Seorang penumpang dan pembantu pemandu bas ekspres mengalami patah paha. Lima lagi penumpang selamat,” katanya.
Azmi berkata, pasukannya mengeluarkan mangsa kemalangan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – 19 Januari, 2024