KUALA LUMPUR – ‘Tiba-tiba dapat pesanan ringkas, notis saman parkir dari @SJcitycouncil,” kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan beliau dikenakan tindakan itu, baru-baru ini.
Beliau berkata, kenderaan miliknya disaman Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 4 Januari di sebuah lokasi di dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Namun, Amirudin berkata, beliau sudah membayar saman berjumlah RM80 itu menerusi transaksi secara dalam talian.
“Saya klik ke pautan dan kurang lima minit dapat selesaikan bayaran.
“Semenjak 2019, hampir semua PBT smart parking dan bayaran juga boleh dilaksanakan dalam talian,” katanya menerusi hantaran di X.
Menerusi statusnya itu, Amirudin turut mengingatkan orang ramai yang menerima saman parkir supaya menekan pautan pembayaran untuk melunaskannya.
“Ingat dapat notis saman klik bukan call Datuk Bandar minta waive (dikecualikan),” katanya berseloroh.
Malah, melalui status itu, Amirudin berkongsi resit pembayaran dibuatnya untuk kesalahan berkenaan sebagai bukti saman sudah dilangsaikan. – 19 Januari 2024