GAZA – Seorang pegawai tertinggi Hamas semalam mengumumkan syarat baharu untuk penghantaran ubat-ubatan kepada tebusan yang ditahan kumpulan itu di Gaza.
Malah, beliau menegaskan, trak membawa bekalan ubat-ubatan berkenaan tidak boleh diperiksa oleh Israel.
Di bawah perjanjian yang diusahakan pengantara Qatar dan Perancis kelmarin, ubat-ubatan bersama dengan bantuan kemanusiaan akan dibekalkan kepada orang awam di Gaza.
Ini sebagai pertukaran untuk menghantar ubat-ubatan yang diperlukan oleh tebusan yang ditahan Hamas di sana, di mana seramai 45 tebusan dijangka menerima bantuan tersebut mengikut perjanjian.
Anggota kanan biro politik Hamas, Musa Abu Marzuk berkata, bagi setiap kotak ubat yang masuk untuk tebusan, 1,000 kotak akan dibekalkan kepada penduduk Gaza.
Menurutnya, ubat-ubatan itu akan dibekalkan melalui negara yang dipercayai Hamas dan bukannya, Perancis.
Hamas-Israel deal: Humanitarian aid & medicine enters Gaza https://t.co/ZJ9UCjyGXV
— صحيفة مباشر العربية (@mubasheer2022) January 18, 2024
“Ubat-ubatan itu akan dibekalkan ke hospital berbeza. Begitu juga, trak farmaseutikal akan masuk tanpa melalui pemeriksaan Israel,” katanya.
Sumber keselamatan di Mesir berkata, sebuah pesawat Qatar yang membawa ubat-ubatan tiba di bandar El-Arish, Mesir berhampiran persimpangan sempadan Rafah, semalam.
Perancis berkata, ubat-ubatan itu akan dihantar ke hospital di Rafah sebelum diserahkan kepada Palang Merah dan dibahagikan kepada beberapa kelompok sebelum dipindahkan kepada tebusan.
Dalam pada itu, serangan terbaharu dilancarkan Israel mengorbankan sembilan nyawa di Tebing Barat yang diduduki, semalam.
Tentera Israel mengesahkan pihaknya melakukan serangan udara semasa serbuan Tulkarem, sambil menambah “beberapa pejuang Hamas terbunuh dalam serangan itu.” – 18 Januari, 2024