Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Subsidi diesel RM1 seliter, alternatif elak kenaikan tambang bas sekolah | Scoop

Subsidi diesel RM1 seliter, alternatif elak kenaikan tambang bas sekolah

Tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan baharu dijangka meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pemberian subsidi diesel sekurang-kurangnya RM1 seliter kepada pengusaha bas sekolah merupakan salah satu alternatif untuk mengelakkan kenaikan tambang bas, yang dijangka dilaksanakan bagi penggal baharu persekolahan pada bulan Mac ini.

Pengerusi Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia, Dr Muruga Malai berkata, cadangan untuk pemberian subsidi sebanyak RM1 bagi satu liter diesel berbanding RM2.15 yang perlu dibayar penuh tanpa subsidi.

“Kenaikan tambang sekurang-kurangnya RM10 tidak dapat dielakkan namun pihak persatuan juga ada cadangan ‘menang-menang’ yang mana ia mungkin dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Nageri dan Kos Sara Hidup.

“Langkah ini mungkin boleh membantu untuk mengelak kenaikan tambang bas sekolah,” katanya kepada Scoop.

Jika tidak disebabkan keadaan mendesak sudah pasti pengusaha bas sekolah tidak akan sesekali menaikkan tambang sekali gus membebankan ibu bapa. – Gambar Bernama, 18 Januari, 2024

Media sebelum ini melaporkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan baharu dijangka meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.

Sementara Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika mengulas mengenainya berkata, Kementerian telah menerima maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung cadangan kenaikan kadar tambang bas itu.

Bagaimanapun perkara itu, perlu dikaji terlebih dahulu kerana ia melibatkan pelbagai pihak terutama ibu bapa.

Menurut Muruga lagi, jika tidak disebabkan keadaan mendesak sudah pasti pengusaha bas sekolah tidak akan sesekali menaikkan tambang sekali gus membebankan ibu bapa.

Kebanyakan pengusaha bas sekolah, tegasnya, adalah golongan ibu tunggal dan warga emas yang sudah sekian lama berkecimpung dalam industri tersebut.

“Kami bukan suka-suka mahu menaikkan tambang bas, sebaliknya mahu sama-sama membantu pengusaha bas sekolah yang kini terbeban dengan kenaikan harga alat-alat ganti, minyak pelincir, insurans untuk murid-murid dan kenderaan sudah melonjak naik.

“Kami sebagai pengusaha juga tidak menyalahkan ibu bapa tetapi kami berharap mereka memahami situasi kami,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Industri Bas Sekolah Malaysia (PKIBSM) berkata, kenaikan tambang adalah di atas persetujuan pengusaha dan pelanggan sahaja.

“Setiap tahun ada sahaja cerita pasal kenaikan tambang padahal perkara ini tidak patut dibangkit lagi. Kalau rasa hendak naikkan tambang, berbincanglah secara baik dengan pelanggan. Jangan bebankan mana-mana pihak.

‘Buat masa ini di pihak PKIBSM kami cuma risau mengenai kenaikkan minyak diesel dari RM2.15 kepada RM3.75 seliter,’’ katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambah PKIBSM, selagi tidak ada sebarang keputusan dari pihak kerajaan mengenai subsidi minyak diesel atau petrol, tambang sekarang adalah berpatutan dan munasabah. Ibu bapa serta pelanggan janganlah risau,’’ katanya. – 18 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related