Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tarif air Pulau Pinang naik 55 sen per meter padu | Scoop

Tarif air Pulau Pinang naik 55 sen per meter padu

Walaupun berlaku kenaikan, kadar tarif air di negeri itu disifatkan antara terendah di negara ini

4:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tarif air Pulau Pinang dinaikkan kepada 55 sen bagi penggunaan setiap meter padu (meter individual) berkuatkuasa 1 Februari ini, berbanding 22 sen mengikut kadar terdahulu.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digitalnya, Zairil Khir Johari berkata, walaupun berlaku kenaikan, kadar tarif air di negeri itu yang dikendalikan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), disifatkan antara terendah di negara ini.

“Kadar bekalan air di Pulau Pinang masih antara terendah di Malaysia.

“Kira-kira 77 peratus daripada pengguna air di negeri ini membayar tarif kurang daripada RM10.85 sebulan, manakala 52 peratus pula sebanyak RM6.20 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk penggunaan sehingga 35 meter padu, pengguna akan dicaj sebanyak RM1.10 manakala RM2 akan dikenakan untuk penggunaan melebihi 35 meter padu.

Sementara itu, kadar domestik pukal seperti di kediaman bertingkat (apartmen dan kondominium) pula mengalami kenaikan berganda sebanyak RM1.66 bagi setiap meter padu berbanding 22 sen sebelum ini.

Menurut Zairil, peningkatan pendapatan daripada pelaksanaan tarif baharu itu akan digunakan untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air di negeri tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tidak dapat menampung kos operasi dan kerja menaik taraf infrastruktur diperlukan.

Beliau berkata, prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan, PBAPP melaksanakan program rebat bersasar khas RM10 sebulan kepada golongan B40 yang berpendapatan RM2,250 ke bawah dengan bilangan isi rumah seramai lapan individu atau lebih.

“Selain itu, penerima skim eKasih yang memperolehi pendapatan isi rumah RM1,036 sebulan dan ke bawah juga layak menerima subsidi RM10 sebulan,” katanya.

Awal hari ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan berkuatkuasa bermula 1 Februari depan, membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

SPAN berkata, pelarasan tarif air itu akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik.

Di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan pelarasan tarif air itu adalah berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan. – 17 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related