KUALA LUMPUR – Tujuh consortium tempatan dan antarabangsa menghantar cadangan konsep bagi Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) kepada MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).
Tujuh konsortium itu terdiri daripada 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek berkenaan.
Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, penyerahan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura itu adalah sebagai maklum balas kepada Permintaan Maklumat (RFI) yang dilancarkan MyHSR Corp lancarkan pada Julai tahun lalu dan tarikh akhir penyerahan RFI adalah hari ini.
Menurutnya, penemuan daripada penilaian RFI akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Kabinet untuk pertimbangan.
“Sekiranya maklum balas positif, kami akan meneruskan ke fasa kedua dengan Permintaan Cadangan (RFP) untuk mendapatkan cadangan terperinci daripada konsortium terpilih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Julai 2023, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) melancarkan proses Permintaan Maklumat (RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.
Pelaksanaan proses RFI itu juga menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.
Dalam sesi taklimat awal projek HSR itu, MyHSR sudah menyatakan secara jelas projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.
Pada Jumaat lalu, firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan mereka untuk terbabit dalam projek berkenaan.
Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek tersebut tetapi mereka telah memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.
Perkembangan itu dijangka memberi laluan kepada pesaing perniagaan dari China mengukuhkan lagi jejak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas menyiapkan kereta api berkelajuan tinggi pada 2023 di Indonesia dan kini sedang membina satu lagi projek di Thailand. – 15 Januari, 2024