Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu digubal bersama Pindaan Akta Lompat Parti tangani kelompongan | Scoop

Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu digubal bersama Pindaan Akta Lompat Parti tangani kelompongan

Yang di-Pertuan Agong akan hilang kuasa prerogatif untuk menasihat Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat jika akta itu digubal

11:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sekiranya kerajaan mahu melaksanakan Akta Parlimen Berpenggal Tetap, ia perlu digubal bersama dengan pindaan Akta Lompat Parti untuk menutup kelompongan sedia ada.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana, jika akta itu digubal, Yang di-Pertuan Agong akan hilang kuasa prerogatif untuk menolak nasihat Perdana Menteri membubarkan Dewan Rakyat.

Justeru, katanya, pindaan Perlembagaan diperlukan khususnya peruntukan mengenai bagaimana Dewan Rakyat boleh dibubarkan iaitu dengan meminda peruntukan sedia ada.

“Peruntukan baharu akan menyatakan Dewan Rakyat hanya boleh dibubar apabila penggal tetap Parlimen sampai masanya.

“Proses pembubaran seperti biasa iaitu Perdana Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat dan Baginda akan membubarkannya,” katanya kepada Scoop.

Menurutnya, akta tersebut pernah diamalkan di United Kingdom (UK) pada 2011 tetapi dimansuhkan pada 2022 selepas kerajaan negara itu mendapati mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal Parlimen sekiranya suasana politik tidak berpihak kepada mereka.

Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood menjelaskan bahawa Akta Parlimen Berpenggal Tetap tidak semestinya menghalang Ahli Parlimen lompat parti dalam konteks undang-undang sedia ada- Gambar Bernama, 15 Januari, 2024

Beliau berkata, ketika undang-undang sama di UK wujud, Parlimen boleh dibubarkan lebih awal jika dua pertiga Ahli Parlimen bersetuju untuk membubarkannya.

“Jadi, dua keadaan di mana Dewan Rakyat boleh dibubarkan, iaitu dua pertiga Ahli Parlimen menyokong pembubaran lebih awal dari lima tahun dan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, dan Yang di-Pertuan Agong bersetuju membubarkan Parlimen,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, bagaimanapun senario yang membenarkan undi tidak percaya dibentangkan pada bila-bila masa di Dewan Rakyat tidak dapat menghalang pertukaran sokongan Ahli Parlimen daripada kerajaan kepada pembangkang dan sebaliknya.

Jelasnya, dalam kata lain akta tersebut tidak semestinya menghalang Ahli Parlimen lompat parti dalam konteks undang-undang sedia ada.

“Di sebalik kelemahannya, akta tersebut wajar diperkenalkan kerana kerajaan dipilih menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) akan terus menguasai Parlimen selama lima tahun tanpa perlu bimbang akan dijatuhkan pada bila-bila masa.

“Isu spekulasi bila Parlimen akan dibubarkan tidak akan timbul kerana tempoh pembubaran sudah ditetapkan. Kerajaan pula tidak boleh membubarkan Parlimen mengikut kepentingan politik kerajaan atau memilih masa mereka mempunyai sokongan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, pakar geostrategi, Prof Azmi Hassan berkata, sekiranya akta itu diwujudkan, pemilihan Perdana Menteri negara ini perlu diubah daripada sokongan Ahi Parlimen di Dewan Rakyat kepada undi popular seperti dilakukan Indonesia atau dipilih secara langsung oleh rakyat seperti di Amerika Syarikat (AS).

Prof Azmi Hassan berpendapat, sekiranya Akta Parlimen Berpenggal Tetap diwujudkan, pemilihan Perdana Menteri negara ini perlu diubah daripada sokongan Ahi Parlimen di Dewan Rakyat kepada undi popular seperti dilakukan Indonesia atau dipilih secara langsung oleh rakyat seperti di Amerika Syarikat (AS)- Gambar Bernama, 15 Januari, 2024

Katanya, perubahan itu boleh mengelak terbentuknya kerajaan minoriti sekiranya Perdana Menteri hilang sokongan di Dewan Rakyat.

“(Dalam) Sistem kita Perdana Menteri itu dipilih melalui sokongan wakil rakyat di Dewan Rakyat. Maksudnya rakyat tidak memilih Perdana Menteri. Berbeza pula dengan Indonesia, Presiden dipilih rakyat sendiri manakala wakil rakyat dipilih menerusi sistem lain.

“Jadi kalau kita mahu menetapkan akta tersebut, kerajaan perlu ubah pemilihan Perdana Menteri sebagaimana dilakukan di Indonesia dan AS. Tetapi mungkin Perdana Menteri dan wakil rakyat majoriti menguasai Parlimen dari parti berbeza.

“Itu masalah lain yang akan timbul tetapi itu sahaja cara mahu mengelakkan fenomena kerajaan tebuk atap,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno mencadangkan supaya satu rang undang-undang (RUU) bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Katanya, ia juga bagi memastikan peristiwa kekerapan pertukaran Perdana Menteri pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan akan mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap.

Menurutnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di bawah Jabatan Perdana Menteri juga akan menjalankan kajian terperinci termasuk kajian impak dan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan berkaitan perkara itu. – 15 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related