KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan memfailkan saman terhadap seorang pengguna media sosial susulan video mendakwa tahap kebersihan dan penyediaan makanan di restoran mamak menjijikkan.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tindakan itu akan dilakukan Isnin ini melalui peguam dilantik pihak persatuan.
“Tidak kira sama ada pengguna TikTok itu sudah memadam atau menurunkan kandungan video tersebut atau sebaliknya, saman tetap saman.
“Kami pun tidak tahu apa motif dia (pengguna TikTok) membuat perkara tersebut. Peguam kita akan memfailkan saman, Isnin ini,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.
Jawahar berkata, video berkenaan masih belum dipadamkan dan pengguna TikTok itu juga tidak ada menghubungi Presma untuk sebarang rundingan.
Bagaimanapun penelitian Scoop di TikTok mendapati ia video berkenaan tidak ditemui, mungkin telah dipadamkan.
Semalam Presma menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang pengguna media sosial, berkait tahap kebersihan dan penyediaan makanan di restoran mamak yang didakwanya menjijikkan.
Presma percaya dakwaan atau fitnah dibuat pengguna TikTok itu adalah kenyataan jahat, tidak berasas dan tidak disokong sebarang fakta serta bukti.
Menerusi video tular itu, pengguna TikTok terbabit memberi pesanan supaya jangan menikmati hidangan di kedai mamak yang melakukan empat benda meloyakan tekak.
Dia mendakwa nasi beriani dibaluti spender (seluar dalam) lelaki yang terjadi di sebuah kedai mamak di Kuala Lumpur.
Malah, dia mendakwa berlaku perkara toyol kencing dalam makanan, penggunaan air mandian untuk membuat kuah kari dan terdapat restoran mamak menghidangkan kuah dal mengandungi najis yang dibekukan berwarna hitam. – 13 Januari, 2024