Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
6 ahli sindiket duti kereta mewah sebabkan ketirisan lebih RM33 juta akan didakwa | Scoop

6 ahli sindiket duti kereta mewah sebabkan ketirisan lebih RM33 juta akan didakwa

Semua suspek yang merupakan pengusaha dan 'runner' perkhidmatan gudang penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi sebelum ini telah ditahan tahun lalu

3:59 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Enam ahli sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga lebih RM33 juta, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, pada 15 dan 16 Januari ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semua suspek yang merupakan pengusaha dan ‘runner’ perkhidmatan gudang penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi, sebelum ini telah ditahan menerusi satu operasi khas yang dijalankan agensi berkenaan pada Julai 2023.

Mereka akan berdepan dengan lebih 21 tuduhan di bawah Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

“Operasi yang dijalankan SPRM itu susulan isu terkurang kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

SPRM telah menjalankan satu operasi khas yang dipanggil ‘Op Eagle’ dan mengesan sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak – Gambar SPRM, 13 Januari, 2024

“LKAN 2022 menyebut terdapat unsur ketirisan lebih RM72 juta dalam pengutipan duti kastam melibatkan lebih 100 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce.

“Susulan LKAN 2022 itu, SPRM telah menjalankan satu operasi khas yang dipanggil ‘Op Eagle’ dan mengesan sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak,’’ katanya.

Sumber memaklumkan, sindiket ini telah menggunakan surat akuan sumpah atas nama pemilik kenderaan yang palsu sebagai tulen kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menerusi operasi itu juga, SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC) seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah yang disyaki mengelak daripada dikenakan duti kastam.

Pada operasi khas fasa pertama yang dijalankan di utara negara, Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM berjaya menyita 9 kereta mewah pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM12 juta – Gambar SPRM, 13 Januari, 2024

Pada operasi khas fasa pertama yang dijalankan di utara negara, Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM berjaya menyita 9 kereta mewah pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM12 juta.

Hasil operasi itu juga, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta selain turut menahan tujuh individu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Katanya, SPRM juga sedang menyiasat pemilik-pemilik kenderaan di bawah kesalahan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) kerana memilik serta melupuskan hasil kegiatan jenayah serius ini. – 13 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related