Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Maximus Ongkili akhiri zaman duda | Scoop

Maximus Ongkili akhiri zaman duda

Berita perkahwinan Presiden PBS itu dikongsi Adun Tambunan yang juga bapa saudaranya, Datuk Seri Jeffrey Kitingan

8:30 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili menamatkan zaman dudanya selepas melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun lalu.

Ongkili, 70, berkahwin dengan Datin Seri Chhunlin Roeung pada 30 Disember di Dewan Johnity, Tambunan.

Terdahulu, beliau berkahwin dengan Datin Seri Joan Maluda yang kemudian meninggal dunia pada 7 September 2018 ketika berusia 63 tahun akibat masalah kesihatan.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, iaitu Rachel Jane dan Jordan.

Berita perkahwinan Ongkili dan Chhunlin dikongsi pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan dan Presiden Star, Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga bapa saudara Ongkili menerusi Facebook.

Turut hadir pada acara perkahwinan pasangan itu adalah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Jahid Jahim serta Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Hendrus Anding dan Timbalan Setiausaha Agungnya, Jonnybone Kurum.

Pasangan itu mengadakan satu lagi resepsi perkahwinan pada 2 Januari lalu di Walai Bundasan, Kota Marudu.

Sepanjang kerjayanya dalam politik, Ongkili pernah memegang beberapa jawatan Kabinet, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sawarak di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, selain ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hingga November 2022.

Sebelumnya, Ongkili dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dari Mei 2013 hingga Mei 2018 semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Pada September tahun lalu, Gunsalam mengumumkan Ongkili masih Presiden PBS walaupun wujud khabar angin mengenai kesihatannya yang kurang baik.

Bekas Ahli Parlimen Kota Marudu itu kini adalah Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah sejak Februari 2023. – 12 Januari 2024

Topics

 

Hangat

Related