KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham memaafkan pelaku yang menyebabkan kebakaran di rumahnya, Ayer Tawar, Perak, awal pagi ini.
Sebagai peguam, katanya, beliau telah mengendalikan banyak kes dan percaya pelaku kini berada di dalam ketakutan dan terpaksa menyembunyikan diri kerana bimbang ditemui.
Koo Ham turut meminta supaya pelaku terbabit tidak diperdayakan oleh mana-mana pihak.
“Dia telah terpesong kerana kepalsuan dan fitnah yang dilakukan sesetengah pihak, maka bertaubatlah.
“Tapi ini adalah kesalahan jenayah. Saya maafkan. Jangan buat perkara ini dan menyebabkan anda terpaksa menyembunyikan diri, takut dijumpai,’’ katanya pada sidang media di Perak, hari ini.
Awal pagi tadi, rumah Koo Ham di Ayer Tawar telah terbakar namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Kebakaran itu adalah berpunca daripada perbuatan khianat dan polis kini sedang memburu suspek.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).
Berikutan itu, Jemaah Menteri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah membabitkan kes kebakaran di rumah Ahli Parlimen Beruas itu.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan. – 10 Januari, 2024