Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Jemaah Menteri tak bincang isu Lembaga Pengampunan berkait permohonan Najib: Fahmi | Scoop

Jemaah Menteri tak bincang isu Lembaga Pengampunan berkait permohonan Najib: Fahmi

Katanya, kerajaan tidak boleh mendahului proses dan perkara mengenainya diserahkan kepada Lembaga Pengampunan

4:11 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan isu Lembaga Pengampunan dijadual akan membuat keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak boleh mendahului proses terbabit dan perkara mengenainya diserahkan kepada Lembaga Pengampunan.

“Kita tak bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, tapi lazimnya kita tidak boleh mendahului proses, kita serah Lembaga Pengampunan untuk itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu sebuah portal berita melaporkan Lembaga Pengampunan dijadual akan membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan pada akhir bulan ini.

Menurut laporan itu, permohonan oleh bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan tersebut akan didengar dalam sesi lembaga yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan ini.

Ini selepas perkara berkenaan ditangguhkan pada mesyuarat bulan lalu kerana lembaga enam anggota memutuskan bahawa mereka memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan.

Mesyuarat yang akan datang itu akan menjadi antara tugas terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum baginda digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada akhir bulan ini.

Seri Paduka mempunyai kata putus berhubung pengampunan ke atas penjenayah yang disabitkan kesalahan.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kerajaan tidak boleh mendahului proses, dan isu Datuk Seri Najib Razak diserahkan kepada Lembaga Pengampunan. – Gambar Scoop, 10 Januari,

Sementara itu Fahmi berkata, beliau belum menerima apa-apa permohonan daripada pihak Najib berkenaan tindakan segera supaya filem dokumentari Man On The Run yang sedang ditayangkan di negara ini dikeluarkan daripada Netflix.

“Saya belum terima apa-apa maklumat mengenai perkara ini dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Saya difahamkan perkara ini dibangkit di mahkamah, sekiranya ada kita akan lalui proses sepatutnya, waktu ini saya belum terima,” katanya.

Man on the Run ialah dokumentari yang diarahkan, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang ditayangkan di negara ini pada 19 Oktober tahun lalu.

Ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika memberitahu Mahkamah Tinggi, mendakwa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1MDB sedang berjalan, dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera. – 10 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related