PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pagi tadi, berhubung siasatan pemberian projek kepada individu tertentu termasuk melaksanakan dua program di bawah pentadbirannya sebelum ini.
Sumber berkata, keterangan Ahli Parlimen Bera itu diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 10 pagi tadi di sebuah lokasi di Kuala Lumpur.
Kata sumber itu, siasatan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Sementara itu media masih cuba mendapatkan pengesahan SPRM berhubung perkara berkenaan.
Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan akan memanggil seorang bekas Perdana Menteri untuk memberi keterangan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.
Beliau berkata, turut akan dipanggil ialah pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelanjaan dana.
Menurut Azam, tindakan itu bertujuan mengetahui bagaimana wang tersebut dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022. – 10 Januari, 2024