KUALA LUMPUR — Rumah Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak, terbakar pada awal pagi ini, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Kejadian itu telah dimuatnaik di dalam Facebook Koo Ham yang memaklumkan kebakaran berkenaan berjaya dikawal.
“Kejadian kebakaran berlaku di rumah Ahli Parlimen Beruas pada tengah malam tadi. Kebakaran dapat dibendung dan tiada mangsa dilaporkan cedera,’’ kata kenyataan di Facebook beliau yang ditulis oleh Admin, pagi ini.
Tiga buah kenderaan milik beliau dilaporkan musnah dalam kebakaran di kediamannya di Taman Semarak Jaya itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata beliau telah dimaklumkan oleh Koo Ham bahawa rumahnya telah diserang dengan “molotov cocktail” sehingga menyebabkan kebakaran yang memusnahkan salah sebuah keretanya.
“Bomba sempat memadamkan api dan mengelak kebakaran tersebut merebak ke dalam bangunan kediamannya.
“Laporan polis telah dibuat dan kami yakin pihak polis akan bertindak tegas dan cepat untuk menyiasat dan menangkap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah tersebut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Anthony turut memberitahu, beliau mewakili seluruh pimpinan DAP berasa simpati dan bersolidariti dengan keluarga Ahli Parlimen Beruas itu dalam kejadian keganasan tersebut.
DAP, katanya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ganas tersebut yang telah mengancam nyawa Koo Ham dan keluarga beliau.
“Saya menegaskan bahawa apa sahaja bentuk unsur keganasan tidak boleh diterima sekali dalam menangani perbezaan dalam masyarakat kita.
“DAP juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil perhatian serius dalam kejadian ini dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjaga,’’ katanya. – 10 Januari, 2024