KUALA LUMPUR – Prihatin dengan isu dropped calls atau panggilan telefon bimbit tiba-tiba terputus yang dialami ramai pengguna, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) hari ini.
Ujian itu dibuat dengan tujuan menguji capaian rangkaian yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia, dalam menangani isu berkenaan yang menjadi rungutan beberapa pihak sebelum ini.
Turut hadir dalam pelaksanaan ujian itu ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching, yang dibawa menaiki bas dari Parlimen menuju Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Sepanjang tempoh perjalanan itu, Fahmi melihat dan meneliti sendiri kualiti panggilan telefon bimbit sama ada memuaskan atau sebaliknya.
Turut menyertai Fahmi dalam perjalanan hampir sejam itu ialah Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Rombongan ujian itu turut disertai pengurusan kanan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, Yes (YTL Communication), Unifi Mobile (TM Tech) dan U-Mobile.
Dapatan hasil daripada ujian tersebut akan dianalisis dan dikongsi oleh Fahmi pada sidang media di Kementerian Komunikasi petang ini. – 9 Januari, 2024