Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tambahan RM2 juta selesaikan isu air di UMS: Zambry | Scoop

Tambahan RM2 juta selesaikan isu air di UMS: Zambry

Ia adalah tambahan daripada RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat universiti berkenaan tahun lalu

12:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kerajaan telah meluluskan tambahan RM2 juta untuk menyelesaikan isu gangguan bekalan air yang berlaku di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ia merupakan tambahan daripada RM3 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengatasi masalah air di universiti berkenaan ketika beliau mengadakan lawatan ke sana pada tahun lepas, namun jumlah itu tidak mencukupi.

Jelas Zambry, RM1 juta akan digunakan untuk membolehkan pam disediakan bagi mengalirkan air ke kawasan atas, manakala RM1 juta lagi bagi menyediakan tiub di kawasan bawah.

Menurut Zambry, beliau turut mengarahkan supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyelesaikan isu tersebut dengan segera dan memaklumkan kepadanya jika terdapat sebarang proses birokrasi.

Bagi memantau keadaan dan proses pelaksanaan projek itu, Zambry turut mengumumkan pelantikan pemimpin pelajar dalam task force tersebut.

“Saya faham masalah anda (penuntut UMS). Isu air isu sangat asas dan penting. Selepas mendengar taklimat daripada VC (Naib Canselor), saya tanya berapa yang diperlukan lagi. Dalam RM800,000 ke RM1 juta. Saya luluskan RM1 juta untuk make sure pressure air boleh sampai ke atas,” katanya kepada pelajar pelajar yang tunjuk perasaan.

“Lepas itu ada lagi dana tambahan diperlukan untuk korek tiub. Saya tanya berapa diperlukan untuk selesaikan masalah ini. Dalam RM1 juta. Saya terus luluskan sebab mahu benda ini disegerakan untuk diselesaikan.

“Saya arahkan juga pihak kementerian selesaikan isu ini dalam tempoh segera dan segala proses birokrasi minta maklum pada saya untuk saya bantu mana yang boleh dipercepatkan,” katanya.

Zambry telah turun padang untuk bersemuka dengan mahasiswa dan memberi jaminan masalah air akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Beliau juga akan bersama-sama dengan UMS yang memiliki profesor yang mempunyai kepakaran untuk membantu menyelesaikan isu tersebut dan memaklumkan kepada KPT terhadap segala langkah segera bagi menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air.

Semalam, semasa lawatan kerja pertama Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, Datuk Seri Zambry Abd Kadir ke UMS di Kota Kinabalu, beliau disambut dengan nyanyian lagu permohonan maaf daripada pelajar terbabit kerana mereka belum mandi.

Sorry (maaf) YB (Yang Berhormat) kami belum mandi,” demikian antara bait-bait lagu yang dinyanyikan sekumpulan pelajar terbabit.

Pada masa sama, mereka juga dilihat memegang plakad yang tertera perkataan ‘Kembalikan Hak Kami’ dan ‘Madani untuk siapa?’ bagi menzahirkan masalah mereka di kampus berikutan ketiadaan bekalan air.

Meskipun Zambry menerima sambutan ‘unik’, namun beliau tidak melarang mahasiswa untuk menzahirkan permasalahan mereka malah secara terbuka mencari penyelesaian bersama.

Malah polisi Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu ialah setiap pelajar diberikan kebebasan, peluang dan ruang untuk bersuara. – 9 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related