KUALA LUMPUR – Orang bukan Islam tidak perlu bimbang dan prejudis mengenai penganjuran majlis khatam al-Quran kerana ia tidak mengandungi unsur permusuhan kaum ataupun provokasi.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, majlis tersebut secara mudahnya difahami sebagai satu majlis membaca beberapa surah dalam al-Quran diiringi dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk al Quran membabitkan orang Islam sahaja.
Menurutnya, dalam program itu, peserta juga akan membaca satu surah dinamakan al-Kafirun bermaksud surah orang kafir yang mengandungi pernyataan tegas berkenaan menjaga hal ehwal agama masing-masing tanpa perlu campur tangan urusan agama lain.
“Sikap orang Islam yang tidak memusuhi orang bukan Islam tanpa alasan yang kukuh ini adalah arahan dari al-Quran sendiri.
“Justeru, orang bukan islam tidak perlu bimbang dan prejudis dengan program ini kerana ia tidak mengandungi apa-apa unsur permusuhan kaum ataupun provokasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelas beliau lagi, sekiranya program itu melibatkan murid sekolah, ia selaras dengan falsafah pendidikan negara dan sesuai dengan silibus pendidikan Islam.
Malah katanya, penganjuran program itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
“Maka apakah alasan untuk menghalang majlis khatam al-Quran untuk diadakan? Ia tidak menggambarkan suburnya toleransi agama di tanah air tercinta ini,” katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong meminta pihak yang didakwa melarang penganjuran program tersebut supaya tampil memberi penjelasan dan pengesahan mengenainya.
Beliau turut mempersoalkan ketulenan surat tular mengenai larangan tersebut.
“Program khatam al-Quran tidak dibenarkan di sekolah missionari? Adakah surat ini tulen?
“Ada sesiapa dari sekolah tersebut boleh mengesahkan?” soalnya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, tular di media sosial surat menggunakan kepala surat Diocese of Kuching mengenai larangan menganjurkan majlis khatam al-Quran di sebuah sekolah mubaligh di Kuching, Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 3 Februari depan.
Dalam surat yang ditujukan kepada guru besar di sekolah berkenaan, Pegawai Pendidikan Diocesan, Revd Robij Sabai memaklumkan program untuk murid Tahun 6 itu tidak mendapat kebenaran.
“Kami berasa sangat tidak selesa dan bertentangan dengan jangkaan kami untuk mengadakan program seperti ini di premis sekolah mubaligh kami.
“Justeru, dimaklumkan bahawa majlis khatam Al Quran murid Tahun 6 sekolah tersebut yang dijadualkan pada 3 Februari 2024 (Sabtu) dari 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari tidak dibenarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Scoop sedang berusaha untuk menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan pengesahan mengenai surat tular berkenaan. – 7 Januari, 2024