KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta agensi awam tidak menjadi perantara atau ‘barua’ demi memenuhi kepentingan politik dan peribadi mana-mana pihak.
Menteri Besar Kedah itu mendakwa, terdapat golongan tertentu yang merancang plot untuk mengenakan pihak tidak sehaluan dengan mereka demi kepuasan sendiri.
Katanya, mereka itu akan turut menggunakan agensi awam untuk memenuhi hasrat itu.
“Ini saya faham (sebagai) siri plot, semua plot-plot je, bukan ada kerja depa ni, guna agensi awam untuk kepentingan peribadi, untuk memuaskan perasaan sendiri nak pekena (mengenakan) orang sebanyak mungkin yang rasa tak sealiran.
“Dia akan pekena guna depa ni, jangan jadi barua kepada puak-puak ini, hat tu je lah (itu sahaja lah).
“Saya mana tahu RM6 juta tu, depa yang kata, depa kata hampa (media) tulis pasai apa (kenapa), depa tu ada agenda, mai (dari) mana RM6 juta tu hampa tak tulih (tulis) habis pun, mai mana, sapa bagi, depa habaq (beritahu), depa tak habaq kan,” katanya menerusi video sidang akhbar dikongsikannya Facebook sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Zulkifli Che Haron serta dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.
Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba, selain mengurus, mengoperasi dan menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.
Wang itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba, selain mengurus, mengoperasi dan menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.
Sanusi berkata, dakwaan itu tidak benar kerana KFA menampung hutang mencecah RM26 juta ketika Zulkifli mengambil tanggungjawab menguruskan persatuan berkenaan dengan gaji diterimanya kecil.
“Dakwaan itu tak betul, CEO tu saya suruh kerja di situ, gaji RM5,000 hutang RM26 juta, semua KFA hutang, gaji pemain tak bayar, badan berkanun tak bayar, gaji semasa masa tu KFA masih pegang team (pasukan), pembiayaan semasa tak ada duit.
“Saya kata hang (Zulkifli) pi kerja situ, gaji RM5,000, dia sanggup dan dia pulun (gigih) usaha untuk bayar hutang untuk sara pemain. Ada ka sapu duit RM6juta, mai mana duit RM6juta, hutang pun RM26juta,” katanya.
Mengulas lanjut, Sanusi mendakwa, plot mengenai isu rasuah itu membabitkan syarikat besar yang mahu melobi untuk menyambung konsesi rawatan air.
“Derma pi situ (KFA) nak suruh kita sambung (konsesi) dia, saya kata konsesi ni kita tak sambung kita nak buat sendiri, hang derma lah RM80 bilion pun tak sambung, lepas tu dia minta balik duit tu, itu cerita dia,” katanya,
Menurutnya, KFA dibiayai menerusi sumbangan derma disalurkan pembagai pihak, termasuk kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan peminat sukan.
“Sapa bagi derma kita terima masuk dalam akaun, apa salah terima derma, kalau duit itu masuk dalam akaun KFA apa salah, yang hangpa kata rasuah tu kat mana pula, empat-empat orang tu semua miskin saya kenal depa,” katanya. – 7 Januari, 2024